Home Nasional Kerja-kerja meroboh Plaza Tol Batu 3, Sungai Rasau selesai Mac

Kerja-kerja meroboh Plaza Tol Batu 3, Sungai Rasau selesai Mac

Sebahagian pengguna Lebuhraya Persekutuan melalui Plaza Tol Sungai Rasau beberapa minit sebelum perlaksanaan Pemansuhan Kutipan Tol Sungai Rasau dan Tol Batu Tiga, Shah Alam menjelang detik 12.01 pagi. foto SAFWAN MANSOR, 31 DISEMBER 2017

PETALING JAYA – Semua kerja-kerja perobohan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau telah bermula dan dijangka selesai sepenuhnya penghujung bulan Mac ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, kerja-kerja perobohan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut jadual kerja yang diluluskan.

Menurut Azman, pada ketika ini PLUS telah membuat persiapan kerja pelencongan jalan serta proses membawa masuk peralatan di lokasi perobohan. Kerja-kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga telah bermula semalam manakala bagi Plaza Tol Sungai Rasau akan bermula pada malam ini, seperti yang dijadualkan.

“Kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain telah bermula 22 Januari lalu dan tamat pada 8 Februari,” katanya.

Secara amnya, kerja-kerja perobohan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau perlu melalui beberapa fasa iaitu pemindahan peralatan tol, papantanda serta aset-aset plaza tol, penutupan dan lencongan jalan, roboh fizikal bangunan plaza tol (bermula dari struktur bahagian tengah bumbung plaza), membuat penanda jalan (roadmarking), pemasangan penghadang jalan bagi penjajaran semua laluan utama dan meroboh fizikal bangunan plaza tol (struktur bahagian tepi bumbung plaza) di kedua-dua arah serta pemeriksaan akhir laluan.

Pada masa yang sama, PLUS menasihatkan semua pemandu yang melalui kedua-dua plaza tol tersebut supaya lebih berhati-hati dan memperlahankan kenderaan mereka.

Azman berkata, terdapat banyak papantanda amaran disediakan di lokasi terutamanya melibatkan papantanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong, lencongan di hadapan dan sebagainya untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan terbabit setiap hari.

Selain daripada itu, PLUS turut meletakkan kon-kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya di lokasi untuk membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong.

“Lampu-lampu jalan turut dinyalakan pada waktu malam untuk membantu orang ramai,” katanya.

Pihak PLUS sentiasa prihatin atas keselamatan pengguna jalan raya dan juga pekerja kontraktor perobohan semasa kerja perobohan ini di jalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast