Khairul Azwan Harun
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz kini dalam keadaan terdesak untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik masing-masing.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ini kerana tidak mustahil dua beranak itu akan bertanding menggunakan logo DAP untuk meraih undi kaum Cina dalam PRU14.

“Dr Mahathir dan Mukhriz tak kisah PPBM (Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia) terkubur asalkan menang PRU14.

“Mereka dalam keadaan terdesak, maka tidak hairanlah jikalau mereka bertanding menggunakan logo DAP untuk meraih undi kaum Cina oleh sebab kegagalan untuk meraih sokongan pengundi Melayu,” katanya dalam satu kenyataaan di sini hari ini.

Khairul Azwan mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa kedua individu itu akan bertanding atas tiket DAP pada PRU14.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan kenyataan itu kerana timbul ketidakpuasan hati ramai pihak di dalam parti itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir tidak lagi popular di dalam PPBM.

Sebelum ini, Mohd Puad mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU14.

Jelas Mohd Puad, tindakan itu dikatakan berikutan PPBM gagal mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu khususnya di kawasan hendak ditandingi.

Tegasnya, hasrat Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM itu mewujudkan satu usaha dalaman oleh kelompok ‘proMahathir’ untuk mensabotaj pendaftaran parti berkenaan dengan menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam pada itu, Khairul Azwan mendakwa, situasi itu mewujudkan satu kerjasama sulit antara Dr Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi membolehkan Pengerusi Pakatan Harapan itu berpayungkan logo DAP pada PRU akan datang.

“Saya amat yakin Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo DAP kerana terdesak.

“Kini semua pihak tahu bahawa Dr Mahathir merupakan seorang yang tidak berpegang kepada apa-apa prinsip kerana dia sentiasa percaya matlamat menghalalkan cara, walaupun cara tersebut merupakan sebuah pengkhianatan kepada ahli dan PPBM sendiri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast