Home Politik Pas tak berani buat ramalan menang kalah PRU 14

Pas tak berani buat ramalan menang kalah PRU 14

Rosli Abdul Jabar

KUALA LUMPUR – Pas Pahang mengambil sikap tunggu dan lihat apa sahaja keputusan bakal berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini kerana menyifatkan pertandingan kali ini agak sengit antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN) dan komponen Pakatan Harapan (PH).

Menurut Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar, beliau tidak mahu mendahului keputusan jawapan yang telah sedia ada dalam ilmu Allah, melainkan berusaha untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur.

“Sesiapa sahaja mengharapkan kemenangan, tetapi saya tidak mungkin akan memberi jawapannya kerana ia akan mendahului ilmu Allah.

“Dan persoalan ini yang sering dilontarkan kepada saya oleh musuh Pas dalam komen mereka dalam laman sosial Facebook mahupun aplikasi Whasapp,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur berkata, sebagai seorang muslim dan ahli Pas, beliau mesti menjawabnya mengikut aspek agama terlebih dahulu sebelum menjawabnya dari sudut senario politik.

Katanya, beliau juga pasti BN dan PH termasuk Pas tidak boleh membuat sebarang kepastian calon mereka akan menang.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan bersifat pasti bahawa Pas akan menang di DUN Tanjung Lumpur pada PRU 14 ini, termasuk PRU 13 yang saya menanginya, melainkan semuanya dilapik dengan kalimah Insya-Allah,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kenyataannya itu akan dimanipulasi kononnya Pas sendiri tidak pasti boleh menang atau tidak di Tanjung Lumpur.

“Saya kira ini adalah komen yang merupakan manifestasi dari kebodohan dan kejahilan melampau,” katanya.

Kata Rosli, yang diistilahkan kemenangan bagi Pas ketika di dunia dalam konteks pilihan raya ialah kemenangan atau dikurniakan kuasa pemerintahan yang dapat mentadbir serta melaksanakan di dalamnya sistem Islam yang adil kepada semua manusia sama ada kepada golongan muslim atau bukan muslim.

“Kemenangan akhirat pula dibebaskan oleh Allah dari azab akhirat, pembebasan yang hanya dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang beriman dan melaksanakan tuntutannya dengan melakukan amal soleh termasuk dalam bentuk gerak kerja politik.

“Kemenangan inilah yang pertama-tama diburu oleh Pas sehingga ahlinya istiqamah tidak henti-henti berjuang, berkorban harta dan jiwa demi menagih sokongan tanpa sedikitpun menggadaikan prinsip dasar perjuangannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast