Home Nasional Ini bukan kali pertama Namawee buat onar – GAUM

Ini bukan kali pertama Namawee buat onar – GAUM

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas perlu diambil terhadap Wee Meng Chee atau Namewee kerana ini bukan kali pertama dia  mengeluarkan video yang menghina kerajaan, gesa Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM).

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Namawee disifatkan sudah melebihi batasan sehingga begitu berani menghasilkan video yang biadab menghina negara dan menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Zulkarnain Mahdar

“Ini bukan kali pertama Namewee menerbitkan video kontroversi, sebelum ini dia juga pernah menerbitkan video menghina lagu NegaraKu apabila mengubahnya menjadi lagu ‘Negara kuku’,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Selain itu, Zulkarnain menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap Namewee berikutan apa yang didakwanya sebagai satu siri video penghinaan kepada umat Islam dan pemimpin negara.

“Pihak polis diminta mengambil tindakan tegas untuk membawa Namewee ke muka pengadilan.

“Pihak keselamatan juga seharusnya sentiasa mengawasi  kawasan sekitar pusat pentadbiran Putrajaya agar tindakan yang dilakukan oleh Namewee ini tidak berulang,” katanya.

Baru-baru ini, Namawee menghasilkan sebuah video bertajuk ‘Like A Dog’, memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatar belakang bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Zulkarnain berkata, langkah Namawee itu cuba memanipulasi perayaan tahun anjing.

“Harus ingat umat Islam dan anak-anak muda turut melihat video tersebut. Apakah mesej yang cuba disampaikan oleh Namewee kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum,  yang majoritinya beragama Islam?,” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast