KUALA LUMPUR – Para guru dan guru besar sebanyak 46 sekolah Tamil di negara ini terkejut dengan ugutan gerakan anti Program Dwi Bahasa (DLP).
Menurut akhbat Tamil Malaysia Nanban hari ini melaporkan beberapa guru besar sekolah Tamil mula risau berikutan gerakan itu yang menentang pelaksanaan DLP di sekolah Tamil yang selama ini mendesak kerajaan memansuhkan segera program berkenaan.
Alasan mereka program berkenaan akan memusnahkan bahasa Ibunda Tamil kini bertindak berani menghantar notis peguam kepada guru besar yang terlibat.
Sementara itu, tindakan gerakan DLP itu kini dikecam netizen dan pelbagai pihak sebagai kurang ajar dan melampau.
Malah ada pihak dalam kalangan masyarakat India mahu gerakan itu diambil tindakan tegas kerana mengganggu warga pendidik.
Gerakan itu difahamkan telah melantik sebuah syarikat firma guaman dan menghantar notis berbentuk ugutan sebagai tindakan mahu menyaman guru besar yang melaksanakan DLP di sekolah Tamil mereka.
Mengikut fakta, DLP telah dilaksanakan atas nasihat Kementerian Pendidikan setelah mendapat persetujuan ibu bapa murid sekolah itu tanpa paksaan atau tekanan.
Namun ia tidak disenangi gerakan anti DLP yang mengecam dan memaki hamun para ibu bapa dan guru yang menyokong DLP itu.
DLP mendapat sambutan ibu bapa yang menganggap pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris menerusi DLP dapat memanfaatkan tahap penguasaan dan pencapaian anak mereka sekaligus menafikan ancaman terhadap bahasa ibunda Tamil di sekolah itu.
Tetapi sikap gerakan anti DLP mengugut guru mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga pendidik sekaligus menjejaskan tugasan sekolah mereka.
Guru besar sekolah Tamil difahamkan menerima surat notis peguam bertarikh 14 Februari 2018 dan sebahagian guru besar sekolah Tamil yang terlibat dalam program DLP mengakui telah menerima notis peguam tersebut.
Gerakan anti DLP itu dalam hujah mereka mendakwa DLP dilaksanakan tanpa persetjuan KPM dan bertentangan dengan dasar pendidikan negara.
Notis itu memberi amaran supaya setiap guru besar perlu secara bertulis menarik balik segera program DLP dan menghantar pengakuan itu dalam bentuk surat kepada gerakan itu dalam tempoh tujuh hari.
Persoalannya, apa tindakan daripada kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan apabila ada warga pendidik diancam oleh sebuah kumpulan tidak diiktiraf.
Ia bukan sahaja keterlaluan, malah perbuatan gerakan itu ke atas guru besar sekolah mencabar pihak berkuasa – MalaysiaGazette