SERI KEMBANGAN – HuaZong menyokong usaha-usaha kerajaan dalam mengekalkan hubungan dua hala Malaysia dan China dibawah kepimpinan Perdana Menteri.
Presidennya, Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, segala tindakan kerajaan mempromosi pelaburan China diselia oleh kerangka dasar pelaburan yang ditetapkan.
“Oleh demikian segala serangan pelbagai pihak terhadap penglibatan pelaburan modal China di negara ini adalah tidak berasas.
“Ia hanyalah hasad dengki politik kepartian semata-mata,” katanya semasa berucap di Sambutan Meriah Tahun Baru Cina 2018 anjuran Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia di Wisma Hua Zong yang dirasmikan Datuk Seri Najib Razak.
Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Yin Huah dalam ucapannya juga menyatakan kesediaannya bekerjasama dan berdialog dengan mana-mana pihak yang dianggap model penyelesaian terbaik isu semasa dan melebarkan penyertaan rakyat dalam pembentukan dasar negara.
Katanya, sebenarnya hubungan diplomatik dua hala Malaysia-China telah dipulihkan di zaman pemerintahan bapa Najib, Tun Abdul Razak.
“Kini ia mula mendapat sentuhan baharu dan berkembang pesat di bawah kepimpinan Datuk Seri (Najib) mencapai status rakan kongsi strategik sekaligus melonjakkan hubungan perdagangan kedua-dua negara sehingga kuasa besar Asia itu berpusu-pusu melabur di negara kita.
“Hua Zong melihat positif inisiatif kerajaan Najib dalam mempromosikan hubungan dagangan malaysia-China seiring inisiatif One Belt, One Road yang akan memanfaatkan pembangunan negara dan rakyat.
Justeru beliau menyatakan keyakinan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Pengerusi Barisan Nasional itu menjadi tulang belakang kearah pembentukan penyatuan dalam kepelbagaian pada pokoknya yang mengutamakan kesejahteraan rakyat khususnya komuniti Cina.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji sumbangan dan sokongan Najib kepada perkembangan pendidikan Cina selama ini.
Katanya, usaha ikhlas perdana menteri itu meluluskan Sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke institusi perguruan, bantuan kewangan beratus-ratus juta kepada sekolah Cina sejak tahun 2010 sesuatu yang membuktikan komitmen pemimpin itu terhadap pembangunan pendidikan komuniti itu.
“Hua Zong juga menghargai kepimpinan terbuka datuk seri (najib) yang membatalkan Seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 semasa menggubal pada akta itu pada tahun 1996 sebagai meyakinkan masyarakat Cina kerajaan tidak akan menutup sekolah Cina.
“Saya dapat menjadi saksi keprihatinan beliau (Najib) yang meluluskan penarafan Kolej New Era, Kolej Han Chiang dan Kolej Southern menjadi Universiti bertauliah penuh.
“Malah terbaharu, beliau meluluskan 10 buah sekolah Cina baharu dan enam buah sekolah dipindahkan ke lokasi strategik untuk memenuhi keperluan semasa komuniti Cina sekaligus membuktikan sokongan kerajaan dalam memelihara dan melindungi sekolah Cina,” ujarnya.- MalaysiaGazette