JOHOR BAHRU – Sebuah bas transit musnah hampir 80 peratus apabila kenderaan tersebut tiba-tiba terbakar di Jalan Tebrau berdekatan Kampung Melayu di sini pada 4 petang tadi.
Bagaimanapun, seramai 42 penumpang yang berada dalam bas tersebut semasa kejadian terselamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Ronie Robert berkata, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota digerakkan ke tempat kejadian sejurus panggilan diterima pada 4.26 petang.
“Sejurus tiba kita mendapati bas itu terbakar dan bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan semua penumpang terselamat,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, operasi memadam kebakaran yang dijalankan pihak bomba ditamatkan pada 4.58 petang.
Beliau berkata, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette