KUALA LUMPUR- Pesawat D7 523 milik AirAsia X terpaksa membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Okinawa Naha, Jepun pada jam 2.59 pagi waktu tempatan (3.59 pagi waktu Malaysia) hari ini akibat kerosakan enjin, perkara tersebut disahkan oleh syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu dalam satu kenyataan di sini.
“Penerbangan D7 523 yang berlepas dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun ke Kuala Lumpur semalam terpaksa dilencongkan ke Okinawa kerana masalah teknikal.
“Kesemua 369 penumpang dan 10 anak kapal selamat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pesawat D7 689 akan dihantar dari Kuala Lumpur untuk membawa penumpang yang terbabit pulang ke Kuala Lumpur.
“Penerbangan D7 689 dijadualkan berlepas dari Okinawa pada 9.30 malam ini (waktu tempatan) dan tiba di Kuala Lumpur 2 pagi esok.
“Semua bantuan yang diperlukan oleh penumpang akan disediakan selain perkembangan terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Difahamkan, enjin kanan pesawat itu mengalami masalah kira-kira 2.15 pagi waktu tempatan, memaksa kapten penerbangan mematikan enjin berkenaan sebelum mengumumkan pendaratan cemas. – MalaysiaGazette