KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Pereyra Diaz meninggalkan kelab itu apabila keluar daripada hotel penginapan pasukan itu di Singapura kelmarin.
Diaz meninggalkan hotel pada pukul 12 tengah malam kelmarin sebelum pasukan itu berlepas ke Vietnam untuk mengharungi perlawanan perlawanan kedua Piala AFC menentang Song Lam Nghe An F.C esok.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, ejen pemain itu telah menghubungi JDT memaklumkan tentang hasrat pemain tersebut yang ingin meninggalkan kelab itu.
“Kelab telah membuat keputusan untuk menghormati keputusan tersebut dan membiarkan beliau pergi,” katanya dalam laman Facebook rasmi kelab itu, JOHOR Southern Tigers hari ini.
Menurutnya, JDT akan mencari pengganti pemain luar negara yang baharu apabila jendela perpindahan dibuka bulan Jun ini.
Semalam, JDT mengumumkan peletakkan jawatan jurulatihnya, Ulisses Morais atas faktor kesihatan keluarga.
Kekosongan jurulatih kelahiran Portugal itu diisi penolongnya, Raul Longhi yang dilantik sebagai jurulatih sementara. – MalaysiaGazette