Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen.

KUALA LUMPUR – Universiti Antarabangsa al Madinah (Mediu) Cawangan Malaysia di Shah Alam, Selangor kini menawarkan pengajian asasi percuma dalam asas bahasa Arab dan Pengajian Islam selama satu tahun kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pengambilan April ini.

Ketua Eksekutif MEDIU, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, pihaknya berhasrat memberi peluang kepada anak tempatan untuk menyambung pengajian di peringkat menara gading bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam pelbagai bidang pengajian di bawah Fakulti Sains Islam dan Fakulti Bahasa.

Beliau berkata, program pengajian asasi yang telah memasuki tahun kelima itu merupakan usaha MEDIU menggalakan pembelajaran Bahasa Arab kerana ia memiliki potensi besar untuk menjadi salah satu bahasa yang paling utama di dunia pada masa akan datang.

“MEDIU sentiasa komited dan berterusan membangun serta mentransformasikan pendidikan negara agar tidak ada kumpulan dalam masyarakat kita tercicir serta ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan dan merebut peluang memperbaiki mutu dan kualiti hidup masing-masing.

“Program asasi percuma ini juga amat bertepatan dan selari dengan kehendak kerajaan untuk memastikan semua rakyat di negara ini mendapat ruang dan peluang yang sebaik mungkin dalam soal akses kepada pendidikan dan pengajian tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

MEDIU sentiasa komited dan berterusan membangun serta mentransformasikan pendidikan negara.

Mengulas lanjut, Ismawi berkata, syarat yang ditetapkan untuk memasuki pengajian asasi percuma dalam asas bahasa Arab dan Pengajian Islam itu dengan memiliki lima kredit dan lulus Bahasa Arab bagi pelajar lepasan SPM.

Beliau berkata, yuran sebenarnya bagi pengajian itu adalah RM6,000 dan bagi setiap pengambilan, seramai 40 hingga 80 pelajar telah diterima masuk ke MEDIU.

“Selepas tamat pengajian asasi, hampir 100 peratus pelajar meneruskan pelbagai bidang pengajian Ijazah Sarna Muda di bawah Fakulti Sains Islam dan Fakulti Bahasa dan mereka dikecualikan yuran.

“Namun bagi yang ingin meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi lain, mereka perlu membayar yuran RM6,000 sebelum sijil pengajian asasi dikeluarkan,” katanya.

Ismawi turut memberitahu, MEDIA sentiasa menjalankan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya dalam perkara memelihara kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tinggi.

memulakan pengajian secara online (atas talian) pada tahun 2008 dengan hasrat untuk menyediakan kemudahan pembelajaran kepada semua lapisan rakyat.

Bagi pengajian di peringkat Ijazah untuk lepasan Sijl Tinggi Agama Malaysiadan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia, MEDIU telah menjalankan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk kemudahan pembiayaan.

“Inisiatif ini juga merupakan usaha MEDIU ke arah membangun dan mentransformasikan negara, agar tidak ada kumpulan dalam masyarakat kita tercicir dan ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan dan merebut peluang memperbaiki mutu dan kualiti hidup masing-masing.

“Malah, inisiatif ini  merupakan ciri-ciri  yang terkandung dalam falsafah Model Baharu Ekonomi yang amat menekankan penyertaan dari semua pihak.

“Dalam erti kata lain, MEDIU percaya pendidikan adalah suatu pelaburan modal insan, dan mempunyai kesan besar kepada pertumbuhan dan pembangunan sesebuah negara.

“Justeru, MEDIU komited untuk mengambil bahagian dalam pembangunan modal insan Malaysia dengan pemberian biasiswa kepada pelajar Malaysia yang layak menerimanya,” ujarnya lagi.

Tambah Ismawi lagi, program pengajian asasi percuma itu adalah komitmen murni MEDIU dalam usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dan pelajar tentang kepentingan ilmu dan keperluan belajar di menara gading.

“Dengan adanya usaha MEDIU yang murni dan kreatif ini, pasti akan meningkatkan motivasi dan keupayaan  kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti bagi membentuk individu yang cemerlang dalam kehidupan akan datang.

“Program ini juga merupakan kesedaran untuk membina dan menggunakan teknologi terkini dengan matlamat yang baik dan membina bagi menyebarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terhadap ummat Islam di seluruh dunia.

“Jadi, rebutlah peluang ini bagi mengaut sebanyak mungkin ilmu pengetahuan kea rah pembinaan jati diri yang cemerlang. Golongan pelajar merupakan aset penting ke arah pembinaan bangsa dan negara yang terus maju tanpa mengenepikan kemajuan kerohanian berdasarkan corak agama Islam dengan membawa manhaj Wasatiyyah,” katanya.

Sementara itu, pelajar yang berminat mengetahui lebih lanjut program asasi percuma itu boleh menghubungi MEDIU di talian 03-5511 3939. – MalaysiaGazette