KUALA LUMPUR- Penerima-penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang masih belum menerima wang tunai semalam, dijangka memperolehnya pada hari ini atau esok.
MalaysiaGazette difahamkan penerima yang menggunakan akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) sudah pun menerima agihan wang tunai semalam.
Sumber Kementerian Kewangan berkata, kelewatan itu bukan disebabkan Kementerian Kewangan tetapi mengikut sistem perbankan yang terlibat dalam membuat pengagihan tersebut.
“Kerajaan mengumumkan wang agihan BR1M akan dimasukkan ke dalam akaun penerima mulai semalam,” katanya ketika ditanya mengenai rungutan penerima bantuan itu yang mendakwa masih belum menerima wang tersebut semalam.
Pada tahun ini, kerajaan meluluskan sejumlah 7.2 juta penerima BR1M membabitkan peruntukan sebanyak RM6.8 bilion.
BR1M diagihkan mengikut tiga kategori iaitu pemberian RM1,200 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, RM900 untuk keluarga berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 dan RM450 kepada individu berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.
Selepas agihan ini, penerima BR1M akan mendapat bantuan itu pada bulan Jun dan Ogos nanti kecuali individu yang mendapat RM450 sekali gus. – MalaysiaGazette