KUALA LUMPUR – Enggan menjadikan isu semakin hangat, Neelofa nampaknya membatalkan kehadirannya dalam program TN50 di Malaysia International Trade & Exhibition (MITEC) di sini malam ini.
Selebriti itu membuat keputusan itu sebagai menghormati acara berkenaan agar ia tidak terkait dengan kontroversi baharu membabitkan dirinya ketika ini.
“Keputusan ini dibuat atas rasa penuh tanggungjawab dengan situasi semasa ini dan untuk memastikan Majlis Penyerahan Kanvas Belia TN50 pada malam ini berlangsung dengan penuh jayanya, “ kata Neelofa dipetik dari Utusan Online hari ini.
Keputusan tidak hadir juga dibuat selepas berbincang bersama melibatkan kedua-dua belah pihak, penganjur TN50 dan juga pihak pengurusannya selain Naelofar Hijab.
“Diharapkan dengan keputusan ini, ia dapat memberi ruang kepada orang ramai untuk menghayati segala mesej dan agenda penting negara, yang bakal diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada malam ini.
“Sekali lagi, saya memohon maaf atas keputusan ini,” katanya.
Neelofa dikritik hebat gara-gara syarikat NH melancarkan koleksi tudung terbaharunya #BeLofa di sebuah kelab malam terkemuka, Isnin lalu.-MalaysiaGazette