Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Seri Noh Omar melihat salah sebuah lif yang telah siap dibaiki ketika membuat lawatan kerja baik pulih rumah serta menyampaikan surat tawaran menduduki dan kiosk solar di PPR Lembah Subang, Subang. foto SAFWAN MANSOR, 28 FEBRUARI 2018.

SUBANG – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) mengalami kerugian lebih RM200,000 susulan sabotaj pihak tidak bertanggungjawab terhadap lif yang dipasang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, hasil siasatan mendapati terdapat individu tidak dikenali memotong kabel lif yang baharu dipasang oleh KPKT sejak mengambilalih pengurusan di PPR tersebut.

“Saya dukacita ingin menyatakan yang  masih ada penduduk yang jalankan kerja, buat pengkhianatan dimana bila lif ini dipasang ada pihak yang tidak bertanggungjawab potong kabel.

“Bila KPKT ambil alih dan agak kontroversi sebab kerajaan negeri juga nak ambi alih. Menteri Besar pun turun. Kita tak tahu turun untuk apa. Mungkin sebab nak publisiti tapi kita bertegas untuk ambil alih.

“Kalau ada kefahaman politik jangan termakan hasutan, jangan sebab politik kita susahkan orang lain. Bila lif ini siap bukan pun tanya orang PKR ke DAP ke dia tak tanya. Semua orang akan gunakan lif. Jangan sabotaj.

“Saya percaya tindakan sabotaj mungkin tunjukkan pada rakyat bahawa BN, saya menteri KPKT janji tak serupa bikin,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambahnya beliau sendiri akan membawa perkara ini kepada Ketua Polis Negeri Selangor untuk menyiasat perkara itu memandangkan sudah 10 laporan dibuat namun tidak dapat menangkap ‘petualang’ terlibat.

“Tapi ini bukan soal kerugian, tapi lebih kepada kebajikan penduduk bersama,” ujar Noh.

PPR Lembah Subang 1 menempatkan sebanyak 3,004 unit di dapati tidak terurus dan dibelenggu pelbagai masalah akibat kegagalan kerajaan negeri Selangor menguruskan perumahan itu selepas mengambil alih pada tahun 2008.

Kontroversi tercetus selepas KPKT bertekad untuk mengambil alih pengurusan PPR Lembah Subang 1 daripada kerajaan negeri Selangor walaupun gagal mendapat kata putus.

Noh berkata tindakan ini perlu kerana kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah gagal menguruskan perumahan itu dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast