Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun selepas AirAsia bergambar dengan sebahagian kakitangan AirAsia pada Majlis Perasmian Ibupejabat AirAsia RedQ di KLIA2, Sepang, Selangor. Foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

SEPANG – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia diakui berperanan penting malah berjaya melonjakkan industri pelancongan yang menjadi sebahagian daripada sumber utama ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) malah salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Inilah peranan penting dimainkan AirAsia ke arah itu. Kita bangga apabila AirAsia sebagai syarikat penerbangan tempatan berkembang menjadi penyedia pengangkutan udara tambang murah terbaik di dunia berkali-kali.

“AirAsia yang bermula pada 2001 dengan dua pesawat Boeing 737 dan kini memiliki lebih 230 pesawat Airbus A320 dan 330.

“Malah syarikat ini beroperasi lebih 30 laluan kepada 130 destinasi merentasi lautan Asia Pasifik dan membawa lebih 70 juta pelancong tahun lepas,” katanya berucap pada Majlis Perasmian ibu pejabat AirAsia, RedQ, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian Ibupejabat AirAsia RedQ di KLIA2, Sepang, Selangor. Foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

Perdana Menteri juga memuji kejayaan AirAsia hari ini yang bermula dengan 200 kakitangan dari pejabat kejuruteraan Lapangan Terbang Subang sebelum berpindah ke Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT).

“Akhirnya AirAsia berpindah ke sini, RedQ di mana syarikat ini mempunyai lebih 20,000 kakitangan dari seluruh dunia termasuk 8,000 orang di Malaysia,” katanya.

Najib berkata lagi, Kerajaan Malaysia bersedia membantu AirAsia untuk memastikan syarikat penerbangan berkembang dan berjaya pada masa akan datang.

“Saya fikir hubungan dua hala semakin baik dan kita dapat lihat hasilnya pada hari ini. Menjadi tanggungjawab saya untuk memperkenal dan melaksanakan polisi yang membolehkan sektor swasta kita berkembang.

“Sebab itu pada 2007 bila saya potensi industri penerbangan tambang murah di negara ini, ketika itu saya sebagai Timbalan Perdana Menteri menerima cadangan itu dan memperkenalkannya ke Kabinet,” katanya lagi – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast