LONDON – Selepas dibelasah 0-3 pada perlawanan akhir Piala Carabao minggu lalu, Arsenal sekali lagi dimalukan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris pula.
Awal pagi tadi, skuad Arsene Wenger itu tewas dengan jaringan sama dan lebih memalukan di Stadium Emirates sekaligus menyaksikan The Gunners tewas dua kali berturut-turut kepada pendahulu liga itu.
Jaringan Bernardo Silva, David Silva dan Leroy Sane memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat Arsenal yang menyebabkan mereka ketinggalan 10 mata daripada kelompok empat teratas Liga Perdana di tangga keenam.
City pula mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan 16 mata di tangga teratas liga.
Wenger bagaimanapun tetap memuji aksi pemain-pemainnya berbanding ketika perlawanan Ahad lalu.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kekal fokus dan tetap bersama serta terus bekerja kuat,” jelas Wenger. – MalaysiaGazette