Saturday, November 16, 2024
Home Sukan JDT buat rombakan besar-besaran

JDT buat rombakan besar-besaran

Ketua pasukan Johor DT, Safiq Rahim bersama rakan pasukannya menjulang Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan pasukan Kedah 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 antara Johor DT menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menyusun semula pasukan melalui rombakan besar-besaran pada Jun ini selepas berdepan dengan masalah dalaman baru-baru ini.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards bagaimanapun berkata, pihaknya tidak panik dengan krisis yang sedang melanda.

Buat masa ini pihaknya hanya akan menggunakan pemain sedia ada termasuk menyerapkan beberapa pemain daripada JDT II ke dalam JDT untuk mengharungi saingan musim ini dalam semua peringkat pertandingan, katanya.

“Itulah yang sedang kami lakukan sekarang. Kami tidak akan berputus asa dan kami masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus berjuang sepanjang masa,” katanya menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.

Edwards menambah, pihaknya berjanji JDT akan melakukan kebangkitan semula selepas ini walaupu  mengakui pemergian bekas ketua jurulatih Ulisses Morais dan penyerang prolifik dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz menimbulkan masalah besar kepada pasukan itu.

“Kami sudah mengetahui strategi bagaimana untuk memperbaikinya dan memantapkan pasukan iaitu dengan melakukan sedikit pertukaran posisi pemain dalam tempoh jangka pendek ini.

“Selepas itu kami akan melakukan pertukaran pemain yang lebih besar pada Jun serta satu lagi pertukaran pada bulan Disember nanti. Kelab menyediakan peruntukan dan buat masa sekarang ini kami akan menggunakan pasukan yang kami ada serta cuba memanfaatkan beberapa pemain luar negara yang sedang bermain untuk JDT II bagi membantu kami,” tambahnya.

Semalam, JDT tewas 0-2 kepada kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC dalam perlawanan Piala AFC 2018 di Stadium Vinh semalam, dua hari selepas Morais mengumumkan peletakan jawatan hanya selepas sembilan bulan berkhidmat dengan memberikan alasan masalah kesihatan keluarga.

Sehari selepas itu Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab tersebut ketika berada di hotel penginapan pasukan di Singapura pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu sebelum pasukan ke Vietnam.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast