TOKYO – Sebuah sekolah di Tokyo yang mendapat perhatian antarabangsa kerana memperkenalkan penggunaan baju seragam jenama Armani terpaksa menggaji pengawal keselamatan selepas beberapa pelajarnya berdepan gangguan berikutan pengumuman penggunaan pakaian yang mahal itu.

Sekolah Rendah Taimei yang terletak di kawasan golongan kaya, Ginza, terpaksa mengambil pengawal keselamatan profesional pada minggu ini selepas sekurang-kurangnya tiga orang pelajarnya berdepan tindakan kasar apabila baju seragam mereka ditarik oleh orang yang tidak dikenali selain ditanya jika mereka pelajar sekolah berkenaan, kata jurucakap perbandaran tempatan kepada AFP.

Jepun dikenali dengan keadaan aman ketika berada di luar rumah dan pengawal keselamatan jarang dilihat di kawasan sekolah.

“Pengawal keselamatan mengawal kawasan jalan yang digunakan pelajar pada waktu pagi dan apabila mereka plang ke rumah,” kata jurucakap itu yang tidak mahu dikenali.

“Ia mengenai keselamatan pelajar,”.

Sekolah tersebut berhadapan kemarahan orang ramai dan kritikan dalam talian terhadap keputusan untuk mengguna pakai pakaian seragam itu bermula April ini, dengan kos yang dihadapi ibubapa kira-kira 80,000 yen (AS$760).

Ketika sekolah itu menyatakan pakaian seragam baharu itu bukannya sesuatu yang diwajibkan, pengkritik berkata, ibu bapa merasakan ia suatu paksaan untuk membelinya bagi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan.

Sejak keputusan itu mendapat perhatian media pada awal tahun ini, sekurang-kurangnya seorang pelajar berhadapan dengan lelaki dewasa tidak dikenali yang menarik bajunya sambil berkata: “Adakah ini Armani?,” kata jurucakap itu.

Dalam dua kes lain, individu-individu tidak dikenali telah bertanyakan kepada pelajar jika mereka belajar di sekolah tersebut, tambah beliau.

Pentadbiran sekolah tersebut dilaporkan berkata, pakaian itu selari dengan usia sekolah 150 tahun yang terletak di daerah mewah, Ginza.

Pakaian seragam itu merangkumi blazer, dengan tambahan beg yang melonjakkan harganya kepada 90,000 yen, yang mana pengkritik berkata harga itu terlalu mahal untuk pakaian seragam untuk kanak-kanak yang sedang membesar. – Agensi