Demonstrasi taekwando pada Majlis Perasmian Kejohanan G1 World Taekwando Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Malaysia bakal menjadi tumpuan bidang seni mempertahankan diri taekwando apabila sebuah akademi berkaitan itu akan ditubuhkan di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, taekwondo yang telah lama bertapak di negara ini akan lebih sinonim dengan Malaysia bakal dikenali sebagai sebuah negara yang mengangkat seni mempertahankan diri itu di rantau Asia Tenggara.

“Saya dengan bangga mengumumkan bahawa hubungan simbiotik antara Malaysia dan Persekutuan Taekwondo Dunia telah memutuskan cadangan untuk menubuhkan Akademi Taekwondo Malaysia.

“Akademi pertama kali ditubuhkan di Asia Tenggara. Akademi akan meningkatkan kemahiran sukan dan prestasi bakat berteras dengan mata yang dilatih di Sukan Olimpik,” katanya dalam ucaptama merasmikan Kejohanan Terbuka Malaysia Taekwondo Dunia di perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama adalah Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia, Choue Chung-won dan Presiden Taekwondo Malaysia, Datuk Seri S. A Vigneswaran dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Najib dalam pada itu, dianugerahkan tali pinggang hitam Grandmaster 8Dan yang disampaikan Choue Chung-won dan S. A Vigneswaran.

Seiring dengan itu, Najib turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Persatuan Taekwondo Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan replika cek kepada Presiden Taekwando Malaysia, Tan Sri SA. Vigneswaran (dua kiri) pada Majlis Perasmian Kejohanan G1 World Taekwando Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 04 MAC 2018.

“Taekwondo mengajar lebih daripada sekadar seni mempertahankan diri. Ia mengembangkan kekuatan batin seseorang melalui penanaman kebajikan seperti penghormatan, penekanan, ketahanan dan ketekunan.

“Inilah sifat-sifat yang saya ingin lihat dalam generasi muda masa kini dan masa depan di negara ini.

“Marilah kita mengetepikan perbezaan antara kita dan memainkan peranan kita, sebagai olahragawan sejati, dalam membina budaya penyayang dan masyarakat penyayang yang sangat penting untuk mencapai Malaysia yang bersatu padu dan harmoni,” kata Najib dihadapan lebih 1,000 ahli taekwondo.

Dalam pada itu, Najib turut berharap agar semua atlet-atlet Taekwondo negara bersiap sedia bagi menghadapi Sukan Olimpik Dunia di Tokyo dan berharap agar mereka berpeluang untuk memenangi pingat emas kategori itu kelak.

“Saya diberitahu bahawa ada 8 pingat emas untuk dimenangi dalam acara Taekwondo, jadi saya harap atlet-atlet kita bersedia untuk merangkul pingat emas dalam acara Taekwondo,” jelas Najib lagi. -MalaysiaGazette.