Zania Nudi

KUALA LUMPUR – Sekumpulan sukarelawan digital yang diketuai oleh Zania Nudi menyambut baik cadangan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu.

Ini kerana sesetengah berita palsu yang disebarkan mengancam keselamatan, menggugat kestabilan dan kedaulatan negara.

Bagaimanapun, menurut Zania, sebelum membentangkan cadangan atau melaksanakan undang-undang tersebut, semua pihak mestilah tahu dan faham apakah yang dimaksudkan dengan berita palsu terlebih dahulu.

Berita palsu sebagai takrifan mudah untuk orang awam, adalah sebarang berita yang mengandungi maklumat, fakta yang salah, melaporkan sesuatu yang tidak benar mengenainya, katanya.

“Secara automatik fitnah adalah berita palsu tetapi melaporkan fitnah adalah juga berita palsu tetapi melaporkan itu adalah fitnah bukanlah berita palsu.

Malah sebagai agama rasmi Malaysia, Islam juga menetapkan bahawa berita yang diterima daripada orang fasik (hipokrit) pun diperintahkan supaya disemak terlebih dahulu kesahihannya.

Apa pun, katanya, kerajaan mesti menyediakan terlebih dahulu pengkalan data sistem maklumat palsu.

Semua berita yang dikatakan palsu berkenaan dimasukkan dalam pengkalan data ini supaya boleh dirujuk oleh semua pihak.

“Semua orang yang menerima sebarang berita, boleh semak di pengkalan data tersebut samada itu adalah berita palsu atau tidak.

“Sekiranya seseorang itu tahu sesuatu berita itu adalah palsu, maka ia hendaklah melaporkannya kepada pentadbir pengkalan data tersebut untuk dibuat pengesahan dan dimasukkan ke dalam senarai berita palsu.

“Setelah itu barulah relevan jika hendak digubal undang-undang bagi menangani penyebarannya. Tanpanya, tak ada guna pun mana-mana pergi ke mahkamah, mudah sahaja untuk ditolak mahkamah atas alasan orang itu tak tahu pun itu adalah berita palsu,” katanya baru-baru ini.

Justeru, menurut Zania, pihak ada menyediakan pangkalan data dan sistem maklumat palsu yang ketika ini boleh dicapai melalui laman web paidnews.net dan boleh digunakan secara percuma.

Ditanya kenapakah beliau membangunkan sistem tersebut, beliau berkata; “Saya dan kumpulan sudah muak dengan ramai sangat pakar-pakar cerdik pandai yang bercakap tin kosong sahaja.”

“Jadi kali ini, kami buat dulu baru bercakap mengenainya.

“Saya beri percuma terutamanya kepada kerajaan yang menjadi mangsa utama. Kos pembangunan sistem sebenarnya murah sahaja.

“Misalnya, kerajaan membayar berpuluh juta ringgit untuk satu sistem sedangkan kosnya hanyalah beberapa ribu ringgit sahaja,” katanya lagi.

Zania juga bersedia menyerahkan sistem yang telah diciptanya itu kepada sesiapa yang berminat untuk mengurus dan mentadbirkannya terutama kepada agensi kerajaan khususnya kepada Suruhanja Komunikasi dan Multimedia Media dan pihak kementerian terbabit.- MalaysiaGazette