Salah seorang yang ditahan SPRM Johor di RAPID, Pengerang kerana meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM25,000 daripada pemilik sebuah restoran.

JOHOR BAHRU – Seorang pegawai keselamatan dan seorang Pengurus Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran di RAPID Pengerang ditahan kerana meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM25,000 daripada pemilik sebuah restoran di kawasan itu.

Kedua-dua suspek berusia 44 dan 49 tahun ditahan di RAPID di Pengerang kira-kira pukul 3 petang hari ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek menerima wang rasuah itu daripada pemilik sebuah restoran sebagai dorongan untuk mendapatkan peluang perniagaan iaitu membuka kantin dan meluluskan kerja paip gas di salah sebuah kafe di dalam RAPID.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  2009 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kedua-dua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast