Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menerima titah diraja daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendapat pujian daripada Yang Di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V susulan kewangan kerajaan dijangka lebih kukuh berdasarkan kutipan hasil lebih tinggi sejak tahun lalu.

Menurut baginda, walaupun negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global namun kerajaan kekal fokus serta komited melaksanakan dasar-dasar transformasi fiskal serta pengurusan ekonomi dan kewangan negara secara berhemat.

“Pertumbuhan perbelanjaan negara yang sederhana dan defisit fiskal disasarkan terus berkurangan.

“Rizab antarabangsa pula kekal kukuh manakala hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan terkawal.

“Perdagangan luar Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat,” titah baginda pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam ke-13 Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Baginda juga berharap momentum prestasi negara sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan dan dijangka menarik pelaburan lebih tinggi pada 2018 dapat dikekalkan pada tahun-tahun akan datang.

“Beta menyeru semua program dan projek yang dirancang dilaksanakan dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa yang dihadapi negara,” titahnya.

Sultan Muhammad V mengalu-alukan langkah kerajaan yang berterusan untuk menangani isu-isu yang dekat di hati rakyat melalui pelbagai inisiatif terutamanya berhubung kos sara hidup.

“Beta percaya lebih banyak inisiatif akan diperkenalkan berikutan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara bagi merangka program bersesuaian yang boleh dilaksanakan segera untuk meringkankan beban rakyat.

“Kerajaan Beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesajteraan mereka.

“Subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golongan memerlukan,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast