Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejayaan sistem pendidikan sesebuah negara adalah berdasarkan penggunaan bahasa ibunda sendiri.

Katanya, al-Quran juga turut menekankan perkara itu melalui surah Ibrahim, “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan kepada mereka”.

Kata beliau, apa yang disebutkan dalam al-Quran mengenai penggunaan bahasa yang tepat adalah selari dan menepati kajian yang dihasilkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Hasil kajian menunjukkan pendidikan mestilah menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan penggunaan bahasa asing adalah gagal,” katanya dalam satu rakaman video semalam.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang berjanji akan mengembalikan semula dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PPSMI diperkenalkan di negara ini ketika Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin memegang jawatan Menteri Pelajaran.

Abdul Hadi turut memberi contoh beberapa buah negara yang telah berjaya melalui sistem pendidikan mereka seperti Jepun, Jerman dan China.

“Negara-negara besar dalam dunia hari ini tegas dengan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Malah, kata beliau, Jepun dan Jerman yang kalah dalam perang dunia kedua bangkit dengan memperkasakan rakyat dengan bahasa mereka sendiri.

Dalam pada itu, katanya, Ibn khaldum pernah mengulas mengenai pengabaian bahasa ibunda sesebuah negara dengan menyatakan bangsa yang hina ialah mereka yang terpengaruh dengan bahasa penjajah.

Tambah beliau, bangsa yang terpengaruh dengan bahasa dan budaya penjajah akan meninggalkan agama mereka sendiri.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) baru-baru ini turut membidas Mahathir kerana mahu mengembalikan PPSMI jika pembangkang menang PRU14.

ABIM menegaskan pandangan bahawa mata pelajaran sains dan matematik perlu diajar melalui bahasa penghantar Bahasa Inggeris sudah disangkal oleh banyak kajian ilmiah, sama ada dalam negara mahupun kajian di peringkat antarabangsa.

Justeru, pada ABIM, tindakan mahu memgembalikan dasar PPSMI oleh Mahathir adalah tindakan yang membinggungkan, mengelirukan serta tidak bertitik tolak berasaskan fakta dan kajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast