Home Ekonomi Jumlah dagangan Januari RM156.01b

Jumlah dagangan Januari RM156.01b

MIT

KUALA LUMPUR –  Jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2018 melonjak 14.9 peratus kepada RM156.01 bilion berbanding Januari 2017, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

MITI berkata, pertumbuhan perdagangan direkodkan dengan ASEAN, Hong Kong, Kesatuan Eropah (EU), China, India, Taiwan dan Korea Selatan.

“Eksport merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh berbanding import, dengan pertumbuhan dua digit pada 17.9 peratus kepada RM82.86 bilion.

“Ini merupakan eksport bulan Januari tertinggi dicatatkan setakat ini, mengatasi RM70.27 bilion direkodkan pada Januari 2017,” menurut MITI dalam laporan perangkaan perdagangan luar Malaysia yang dikeluarkannya hari ini.

MITI berkata sementara itu import berkembang 11.6 peratus kepada RM73.15 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM9.71 bilion.

Lebihan dagangan ini adalah yang ke-243 bulan berturut-turut direkodkan sejak November 1997.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 3.0 peratus, 4.4 peratus dan 1.5 peratus,” menurutnya.

MITI berkata, prestasi eksport yang kukuh pada Januari 2018 dipacu oleh pertumbuhan eksport semua sektor utama dengan eksport barangan perkilangan merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 20.4 peratus manakala hasil galian dan keluaran pertanian masing-masing berkembang 8.5 peratus dan 6.2 peratus.

Pada Januari 2018, eksport barangan perkilangan bernilai RM68.34 bilion, merangkumi 82.5 peratusdaripada jumlah eksport Malaysia, menurut kementerian itu.

Penyumbang utama kepada peningkatan itu ialah barangan elektrik dan elektronik yang meningkat 27.1 peratus; kimia dan bahan kimia (+23.4 peratus); barangan besi dan keluli (+60.9 peratus); barangan optik dan saintifik (+18 peratus); barangan perkilangan logam (+14.8 peratus) serta kelengkapan pengangkutan (+32 peratus).

MITI berkata, eksport hasil galian berkembang 8.5 peratus kepada RM7.25 bilion disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan eksport gas asli cecair berikutan kenaikan nilai unit purata dan kuantiti.

“Eksport keluaran pertanian naik 6.2 peratus kepada RM6.51 bilion didorong kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport minyak sawit meningkat 10.1 peratus kepada RM3.92 bilion berikutan kenaikan kuantiti,” menurutnya.

Sementara itu, import pada Januari 2018 meningkat 11.6 peratus tahun ke tahun kepada RM73.15 bilion berbanding RM65.53 bilion pada Januari 2017.

MITI berkata, tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan.

Barang pengantara, bernilai RM37.73 bilion atau 51.6 peratus daripada jumlah import, susut 1.7 peratus, berikutan pengurangan import alat ganti dan aksesori bagi barang modal (kecuali kelengkapan pengangkutan) terutamanya bagi barangan jentera dan kelengkapan elektrik;

Barangan modal, bernilai RM9.3 bilion atau 12.7 peratus daripada jumlah import, turun 3.1 peratus, disebabkan oleh pengurangan import kelengkapan pengangkutan untuk industri, khasnya kapal, bot dan struktur terapung.

Barang penggunaan, bernilai RM6.31 bilion atau 8.6 peratus daripada jumlah import, meningkat 9.8 peratus, hasil kenaikan import barangan makanan dan minuman diproses khusus untuk penggunaan isi rumah, terutamanya barangan pastri.

Mengenai prestasi pasaran utama, MITI berkata, perdagangan dengan ASEAN pada Januari 2018 berkembang 16.2 peratus kepada RM42.98 bilion berbanding Januari 2017.

“Eksport ke ASEAN berkembang 15.6 peratus kepada RM24.19 bilion, merangkumi 29.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

“Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan,” menurut kementerian itu.

Import dari ASEAN meningkat 17.1 peratus kepada RM18.79 bilion, dengan import utama terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Pada Januari 2018, perdagangan dengan China turut naik 8.5 peratus tahun ke tahun kepada RM25.33 bilion dengan eksport berkembang 17.9 peratus kepada RM10.1 bilion berikutan kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik, kimia dan bahan kimia serta barangan optik dan saintifik.

Manakala import dari China meningkat 3.1 peratus kepada RM15.23 bilion dengan barangan import utama ialah barangan elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam.

Bagi perkembangan yang sama, MITI berkata, perdagangan dengan EU melonjak 20.5 peratus tahun ke tahun kepada RM15.52 bilion pada Januari 2018, dengan eksport ke EU berkembang 13.6 peratus atau RM1.01 bilion kepada RM8.38 bilion.

“Eksport ke kebanyakan pasaran EU mencatatkan peningkatan. Pasaran utama EU yang mencatatkan pertumbuhan dua digit ialah Jerman (+18.8 peratus); Itali (+28.1 peratus); Sepanyol (+48 peratus) dan Slovenia (+11.2 peratus manakala Hungary merekodkan pertumbuhan kukuh 114.8 peratus atau RM108.6 juta berbanding Januari 2017,” menurut MITI.

Dari segi barangan, kenaikan eksport ini disumbangkan terutamanya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Eksport barangan perkilangan ke EU naik 10.9 peratus kepada RM7.43 bilion, merangkumi 88.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke EU.

Kementerian itu berkata, import dari EU meningkat 29.6 peratus kepada RM7.14 bilion dengan barangan import utama ialah barangan elektrik dan elektronik, kelengkapan pengangkutan serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

MITI berkata, perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh dengan jumlah perdagangan mencatatkan peningkatan empat peratus tahun ke tahun kepada RM12.94 bilion.

“Eksport berkembang 8.7 peratus kepada RM7.27 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang tumbuh sebanyak 6.9 peratus. Eksport barangan perkilangan merangkumi 95.6 peratus atau RM6.95 bilion daripada jumlah eksport Malaysia ke AS,” menurut MITI.

Kementerian itu berkata, pertumbuhan eksport direkodkan daripada kelengkapan pengangkutan, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, kimia dan bahan kimia, barangan optik dan saintifik serta keluaran getah.

Bagaimanapun, MITI berkata, import dari AS kurang 1.5 peratus kepada RM5.67 bilion di mana barangan import utamanya adalah barangan elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia.

MITI berkata, Malaysia juga merekodkan perdagangan yang baik dengan Jepun dengan jumlah perdagangan dengan negara itu berkembang 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM11.73 bilion pada Januari 2018.

“Eksport naik 3.3 peratus kepada RM7.02 bilion. Kenaikan eksport ke Jepun disokong terutamanya oleh eksport gas asli cecair, barangan besi dan keluli, petroleum mentah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

“Import dari Jepun meningkat 2.4 peratus kepada RM4.71 bilion. Barangan import utama adalah barangan elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta kimia dan bahan kimia,” menurut MITI.

MITI berkata, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada Januari 2018 bernilai RM97.77 bilion merangkumi 62.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport ke negara rakan dagang FTA berkembang 13.7 peratus kepada RM51.01 bilion, mewakili 61.6 peratus daripada jumlah eksport Malaysia. Import naik 11.9 peratus kepada RM46.76 bilion,” menurut MITI.

MITI berkata, peningkatan eksport dicatatkan ke China, Vietnam, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Indonesia, India, Jepun, New Zealand, Turki, Filipina, Pakistan, Chile dan Brunei.

“Eksport ke Korea Selatan meningkat 52.2 peratus kepada RM2.54 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik manakala eksport ke India melonjak 19.1 peratus kepada RM2.97 bilion berikutan peningkatan eksport barangan perkilangan logam,” menurut kementerian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast