Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menasihatkan anggota Parlimen supaya bekerjasama untuk kelancaran sidang Dewan Rakyat yang terakhir sebelum PRU-14.

Beliau meminta, mana-mana ahli Parlimen yang menghadiri sidang bermula esok hingga 6 April tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas melepaskan geram masing-masing.

“Untuk persidangan terakhir ini biarlah geram masing-masing itu dilepaskan nanti semasa kempen PiRU-14.

“Jangan di Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama penggal keenam persidangan ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V di sini hari ini.

Pandikar Amin jelas berpendirian tegas dalam perkara itu dan mahu semua wakil rakyat menyumbangkan perbahasan yang bernas tanpa mencemarkan dewan dengan insiden tidak menyenangkan.

Ditanya sama ada usul draf persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dibentangkan pada persidangan kali ini, beliau berkata; “Saya belum nampak itu (usul persempadanan semula) dalam kertas aturan mesyuarat kali ini.

“Masih ada banyak lagi masa, ada juga kes (isu) 24 jam diterima yang mana kerajaan pernah buat sebegitu,” jelas beliau.

Ditanya sama ada persidangan kali ini akan berakhir cepat dan Parlimen dibubarkan kelak, beliau menjelaskan, ia bukan kuasa speaker menentukannya.

“Biasanya Ketua Eksekutif (PM) jumpa Yang Dipertuan Agong selepas itu baru akan umum hendak membubarkan dewan dan itu prosedur sedia ada tetapi bukan speaker,” katanya lagi.

Pandikar turut disoal mengenai kestabilan emosi beliau dan beliau mengakui diriny bukan robot.

“Kita bukan robot, kalau wakil rakyat membawa emosi ke dewan kita juga harus mengawal emosi dan tidak boleh memperlihatkannya.

“Kadang-kadang ahli-ahli yang berhormat semua apabila berada dalam dewan semasa perbahasan cerita lain, kalau keluar bersantai dengan baik, mereka semua ‘berlakon’,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast