KUALA LUMPUR – Ancaman keselamatan dan kedaulatan negara dari dalam lebih berbahaya dari luar negara yang tidak boleh dikompromi sama sekali, lebih-lebih lagi ia dijadikan bahan gurauan dan mainan politik.
Ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim sambil mengingatkan jika soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak dijaga, kelak Malaysia tidak dihormati lagi.
“Semua pihak rakyat Malaysia harus beri perhatian kepada perkara ini, kedaulatan dan keselamatan negara adalah sesuatu yang kita tidak boleh tolak ansur
“Kalau hancur keselamatan, hancurlah segala-galanya, kalau kedaulatan negara tidak dijaga, sudah pasti hilang hormat orang kepada kita.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada keselamatan keseluruhannya akan memastikan supaya kedaulatan serta keselamatan negara dipertahankan habis-habisan,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau mengulas titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini yang memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu keselamatan negara sebagai satu gurauan dan dipolitikkan demi kepentingan pihak tertentu.
Shahidan selaku Ahli Parlimen Arau juga berkata, ancaman dalaman timbul apabila rakyat Malaysia sendiri memburuk-buruk serta menjejaskan nama baik negara ketika berada di luar negara.
“Kadang-kala ancaman dalaman ini lebih teruk sekiranya kita tidak menghormati negara sendiri.
“Kalau kita pergi ke luar negara, kita tak boleh cerita buruk pasal negara kita sebab ini tempat kita cari rezeki.
“Sesetengah orang dia bukan nak burukkan pemimpin sahaja di negara ini, tapi dia memburukkan negara. Ini merupakan perbuatan yang tidak wajar berlaku dan jangan menderhaka kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette