KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan kenaikan sebanyak 5.8 peratus atau 5,466 projek-projek pelaburan yang diluluskan pada tahun lalu dengan jumlah RM197.1 bilion.

Bagaimanapun, jumlah keseluruhan projek pelaburan yang diluluskan itu susut sebanyak 7.4 peratus berbanding RM212.9 bilion pada tahun 2016 disebabkan oleh penurunan dalam pelaburan sektor perkhidmatan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan berjumlah RM54.7 bilion, jatuh 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala pelaburan langsung domestik susut 7.5 peratus kepada RM142.4 bilion.

MIDA berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing pada tahun lalu menyusut sebanyak 17 peratus kepada RM39.183, mencerminkan aliran pelaburan langsung asing global yang jatuh 16 peratus pada tahun lalu, mencecah AS$1.52 trilion disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang lemah dan risiko-risiko utama global.

Pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan pada tahun 2017 di Malaysia meningkat 8.9 peratus tahun ke tahun kepada RM63.7 bilion berbanding pelaburan sebanyak RM58.5 bilion sebelumnya.

MIDA berkata, sektor perkilangan ini telah menarik 687 projek dan mewujudkan 56,421 peluang pekerjaan pada tahun lalu dengan sebahagian besar pelaburan dari produk petroleum, produk elektrik dan elektronik dan gas asli.

Sementara itu, pelaburan langsung asing sektor pengilang pada tahun lalu berjumlah RM21.6 bilion dengan negara China, Switzerland, Singapura, Belanda dan Jerman menjadi sumber utama.

Sektor perkhidmatan pula menyaksikan sejumlah RM121 bilion pelaburan yang diluluskan, jatuh sebanyak 17.2 peratus berbanding tahun 2016 disebabkan kejatuhan sebanyak 29 peratus dalam sub sektor hartanah.

Meskipun begitu, jumlah projek yang diluluskan meningkat kepada 4,731 berbanding 4,392 pada tahun 2016 kerana peralihan pelaburan kepada projek bersaiz kecil. – MalaysiaGazette