Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bil 1/2018 di Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Bagi menangani kos sara hidup dihadapi rakyat, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang bermesyuarat buat kali pertama hari ini mengumumkan penubuhan lima kluster yang akan menjadi tumpuan utama kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan lima kluster itu berdasarkan kepada isu dan keperluan bagi merangka dasar dan strategi serta pelan tindakan untuk dibawa ke peringkat Majlis Tindakan bagi mendapatkan persetujuan pelaksanaan.

“Saya telah bersetuju agar terma rujukan struktur kos sara hidup yang dipecahkan kepada kluster-kluster ini diterima pakai oleh majlis ini,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Parlimen hari ini.

Lima kluster tersebut terdiri daripada perumahan, pendidikan, pemgangkutan, utiliti dan makanan.

Jelasnya, setiap kluster akan melihat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dan mencari kaedah terbaik dengan mengunapakai ‘Bottom-up Approach’.

“Majlis Tindakan ini akan menggunakan ‘Bottom-up Approach’ yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik merentasi sektor awam dan swasta termasuk golongan akademik, pakar ekonomi dan NGO agar segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara holistik dan bersepadu,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Jawatankuasa Khas Mengensi Kos Sara Hidup Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dinaiktaraf kepada Majlis Tindakan Sara Hidup untuk memberi tumpuan proaktif bagi mendepani cabaran kenaikan kos sara hidup dan membantu mengurangkan beban rakyat dengan lebih berkesan dan efektif. – MalaysiaGazette