Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.

KUALA LUMPURĀ – Tindakan Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak memberi penjelasan mengenai kontroversi kapal layar The Equanimity bukan untuk mempertahankan Jho Low, sebaliknya memperbetul tuduhan pembangkang kononnya ia hasil rompakan wang 1MDB.

Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan Salleh mewakili kerajaan dilihat amat tepat, berdasarkan tiada satu bukti menunjukkan kaitan secara langsung hubung kait kapal itu dengan 1MDB.

“Pihak pembangkang ketika ini juga turut menjadikan isu penahanan kapal layar tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan Datuk Seri Najib walhal fakta sebenarnya ialah beliau langsung tiada kena-mengena dengan 1MDB.

“Fakta ini adalah berdasarkan kenyataan rasmi Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Tan Seng Giaw pada 07 April 2016 selepas selesai siasatan PAC, di mana Najib tidak boleh dipertanggungjawabkan di atas kerugian sekitar 1MDB.

“Tan berkata PAC mendapati beliau (Najib) tidak terbabit secara langsung. Nama beliau hanya disebut kerana tersenarai sebagai ahli lembaga penasihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kapal layar Equanimity ditahan penguatkuasa Indonesia atas permintaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

DOJ mendakwa Equanimity itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta yang diselewengkan daripada 1MDB.

Zulkarnain berkata, isu gambar Jho Low bersama keluarga Najib juga tidak boleh digunakan sebagai bukti Perdana Menteri mempunyai kaitan secara langsung kerana sesiapa sahaja boleh bergambar dengan pemimpin negara itu.

“DOJ ketika ini masih belum membuktikan mana-mana tuduhannya di mahkamah, walaupun hampir dua tahun berlalu.

“1MDB telah berulang kali menjelaskan bahawa meskipun mempunyai urusan perniagaan dengan Aabar BVI, tiada urusan perniagaan antara 1MDB dengan Jho Low,” katanya lagi – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast