Home Politik ‘Apa diharap pembangkang, banyak bohong lagi temberang’

‘Apa diharap pembangkang, banyak bohong lagi temberang’

KUALA LUMPUR – Parti pembangkang hanya berpeluang menyebarkan berita palsu sebelum undang-undang bagi menangani fitnah di media sosial diwartakan, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Menurutnya, berita-berita palsu yang tersebar khususnya persepsi negatif kepada kerajaan didalangi oleh pemimpin pembangkang.

Tambahnya, mereka akan menggunakan peluang untuk berbohong kepada rakyat.

“Muktakhir ini memang banyak penyebaran berita palsu terutama sekali daripada pemimpin-pemimpin pembangkang mereka menghasut rakyat, mereka berbohong dengan rakyat, berceramah siang malam menyebar berita-berita yang tidak tepat. Inilah kerja mereka.

“Jadi tidak ada apa. Buat sementara waktu ini belum ada akta ini biarlah mereka menyebar berita-berita palsu sebab saya percaya rakyat di luar sana tidak akan termakan dengan hasutan palsu mereka,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.

Sambil berpantun, Bung berkata, parti pembangkang tidak mempunyai kelayakan selain menipu rakyat terutamanya apabila mendakwa negara bakal muflis.

“Kita lihat. Bagaimana media sosial dimainkan oleh mereka-mereka yang rasa saya punya pemikiran tidak begitu bijak. Dapat berita sahaja disebarkan kepada orang ramai dan ini pada saya merupakan satu tindakan yang tidak bijak.

“Mereka mengatakan negara akan muflis, mereka tidak tahu membezakan hutang luar negara dengan kerajaan mereka campur aduk dan ini pada saya hari dihentikan sebab ini penyebaran berita palsu.

“Apa diharap padi seberang, entah dimakan pipit melayang. Apa diharap parti pembangkang banyak bohong lagi temberang,” tambahnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast