Malaysia Tigers berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina dengan keputusan 2-1 sewaktu aksi Piala Sultan Azlan Shah 2018 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

IPOH – Skuad Malaysia Tigers mencipta kejutan terbesar apabila berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina dengan keputusan 2-1 sewaktu aksi Piala Sultan Azlan Shah 2018 di Stadium Hoki Azlan Shah di sini, malam tadi.

Gol Malaysia dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-20 dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-28.

Sementara gol Argentina diperoleh menerusi Diego Paz pada minit ke-32.

Berbanding ketika tumpas 1-3 kepada Australia, anak buah Stephen Van Huizen menunjuk perwatakan mantap untuk mengecewakan lawan lebih ternama itu.

Dengan kemenangan itu, Malaysia mengumpulkan enam mata hasil dua kemenangan.

Selepas ini Malaysia dijadual menentang India pukul 8.30 malam ini di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh. – MalaysiaGazette