KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini memanggil pegawai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk memberi taklimat kepada kerajaan negeri berhubung insiden Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air Fasa Tiga Sungai Selangor (SSP3) pecah menyebabkan kecederaan serius kepada kakitangan di lokasi kejadian.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong, Mohamed Azmin prihatin dengan gangguan bekalan air susulan penyelenggaraan di loji itu dan maklum mengenainya pada Isnin lalu, sebelum kerja penyelenggaraan dilakukan di SSP3.
Katanya, Menteri Besar telah mengarahkan Air Selangor menghubungi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk bantuan akses ke atas loji rawatan air yang dimiliki Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).
“Beliau berpuas hati Air Selangor dapat menyelesaikan kerja penyelenggaraan dua jam lebih awal dari yang dijadualkan bagi membolehkan bekalan air disalurkan seperti biasa kepada pengguna.
“Malangnya, insiden tidak diingini berlaku di loji berkenaan ketika operasi pembekalan dimulakan, menyebabkan seorang kakitangan bertugas di loji itu cedera serius dan gangguan bekalan air terpaksa dilanjutkan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Kata Shao Loong, orang ramai diminta bersabar ketika perkhidmatan air Selangor berusaha sedaya upaya memulihkan keadaan akibat kejadian yang tidak diingini itu.
Katanya, Menteri Besar turut berdoa dan berharap kakitangan loji air yang tercedera itu segera pulih. – MalaysiaGazette