Penduduk di Ukay Perdana menadah air daripada kaki bukit ekoran bekalan air terputus di Selangor.

HULU KLANG – Penduduk Ukay Perdana berhampiran Bukit Antarabangsa seperti sebahagian besar penduduk di Lembah Klang dan Selangor yang kini ‘merana’ kerana masalah ketiadaan air.

Bukan sehari dua malah sampai Ahad ini dengar khabar tidak ada air dan itu pun belum benar-benar dapat dipastikan.

Hari ini, rata-rata mereka terpaksa menadah air bukit untuk meneruskan kehidupan.

Status sebagai penduduk di kawasan wakil rakyat, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor tidak nampak sebarang kelebihan nampaknya.

Penduduk di Ukay Perdana menadah air daripada kaki bukit ekoran bekalan air terputus di Selangor.

Walaupun kerajaan Selangor menjanjikan bekalan air akan dihantar ke kawasan terjejas termasuk Bukit Antarabangsa namun penduduk disitu mendakwa kali terakhir tangki air dihantar adalah 2 pagi semalam.

Sejak daripada itu tiada lagi bekalan dihantar ke kawasan tersebut.

“Semalam penduduk lain memberitahu ada tangki air hantar ke kawasan ini tapi jam 2 pagi… siapa nak bangun waktu begitu? Esok nak orang nak bekerja.

Seorang penduduk di Ukay Perdana, Shahril Ahmad, 27, menunjukkan air yang ditadah daripada kaki bukit ekoran bekalan air terputus di Selangor.

“Sampai sekarang ini sudah lebih 12 jam tapi tidak kelihatan satu pun lori tangki air dihantar, kalau nak tunggulah pukul 2 pagi nanti,” kata Shahril Ahmad, 27, yang ditemui MalaysiaGazette petang tadi.

Semasa tinjauan, Shahril bersama beberapa penduduk lain sedang menadah air dari bukit yang terletak berhampiran pangsapuri yang didiami mereka.

“Anak saya tidak ke sekolah hari ini, macam mana nak ke sekolah nak mandi pun tidak air,” katanya lagi.

Seorang penduduk di Ukay Perdana, Hasamudin Mohd Nor, 33,, menunjukkan air yang ditadah daripada kaki bukit ekoran bekalan air terputus di Selangor.

Seorang lagi penduduk di Pangsapuri Baiduri, Hasamudin Mohd. Nor, 33, turut mengeluh selepas lori tangki air yang di tunggu-tunggu tidak kunjung tiba sepanjang hari ini.

Dia mendakwa sistem pemberitahuan oleh kerajaan negeri sangat lemah.

“Takkan nak suruh kami penduduk tunggu bekalan air jam 2 pagi macam semalam… esok pun kami bekerja.

“Kami juga tidak ada maklumat mengenai jadual air yang dihantar ke kawasan-kawasan. Sistem pemberitahuan kepada penduduk sangat lemah,” katanya lagi yang memiliki dua orang anak kecil.

Menurut Hasamudin, punca air dari bukit itu baharu ditemui penduduk dan buat sementara waktu mereka terpaksa menadah air tersebut untuk kegunaan luaran bagi tujuan mandi dan membasuh pakaian.

Sementara itu seorang lagi penduduk, Nashiha Abd Rahman, 31, yang ditemui semasa menadah air di kaki bukit juga mendakwa pihak kerajaan negeri gagal memberikan bantuan air seperti yang dijanjikan.

“Menteri Besar kata bekalan air dihantar tapi sampai sekarang satu tangki air pun tidak ada,” katanya.

Seorang penduduk di Ukay Perdana, Nashiha Abdul Rahman, 31, menunjukkan air yang ditadah daripada kaki bukit ekoran bekalan air terputus di Selangor.

Nashiha yang duduk bersama adiknya dan memiliki tiga orang anak berkata, kehidupan sehariannya kini terjejas dengan ketiadaan air dan menyifatkan insiden kali ini yang paling teruk berbanding sebelum ini.

“Saya rasa ini paling teruk, sebelum ini walaupun air terputus sekurang-kurangnya ada juga banyak lori tangki air yang datang  kesini,” katanya lagi.

Pengguna air membabitkan 563,622 akaun di sekitar Lembah Klang perlu menunggu hingga Ahad ini untuk mendapat semula bekalan, susulan sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Walaupun Kerajaan Selangor berkata kerja pembaikan kecemasan sedang dijalankan selama 24 jam, bekalan akan disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Tempoh pemulihan sepenuhnya bagi kawasan Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 6 petang Ahad manakala Kuala Langat dan Hulu Selangor pulih pagi Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast