KUALA LUMPUR – Manifesto Pakatan Harapan 2018 hanya manifesto populis dengan isu-isu yang menjentik emoasi rakyat, sekaligus membuktikan mereka tidak pernah memikirkan kebajikan atau kepentingan generasi X dan Y dalam membina negara bangsa.
Jika diteliti, tiada satu pun perancangan baharu yang dilakukan Pakatan Harapan untuk memberi peluang kepada belia untuk terlibat dalam pentadbiran negara.
Ini menunjukkan bahawa Pakatan Harapan tidak memikirkan masa depan negara untuk 20, 30 tahun akan datang serta mengabaikan generasi pelapis yang bakal menerajui negara satu masa nanti, kata Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah.
Menurutnya, manifesto picisan seperti mengurangkan beban PTPTN pula dilihat hanya ‘U-turn’ Pakatan Harapan untuk mengambil hati rakyat walhal sebelum ini mereka menjanjikan pendidikan percuma.
Langkah mereka untuk meneruskan PTPTN dan bukan menghapuskannya adalah doktrin bahawa mereka setuju bahawa PTPTN adalah tabung pendidikan terbaik untuk rakyat.
“Apakah mereka tahu menguruskan ekonomi? Kami tidak yakin mereka faham untuk merancang sesuatu perbelanjaan seseorang ketua keluarga atau pemimpin negara mesti tahu dari mana hendak dicari dan banyak mana pendapatan untuk menampung belanja.
“Manifesto kononnya mahu memberikan pendidikan percuma di universiti awam juga merupakan janji kosong kerana hanya negara yang mengenakan cukai pendapatan tinggi boleh melakukan sedemikian. Atau memang sebenarnya mereka mahu mengenakan cukai pendapatan yang tinggi tetapi tidak dinyatakan?,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tidak seperti Barisan Nasional (BN), suara anak-anak muda kini didengari melalui saluran seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) dimana kita telah mendengar lebih 62,000 aspirasi anak muda dalam menjadikan Malaysia negara yang lebih baik menjelang 2050.
Pandangan orang ramai telah banyak diambil kira dan kerajaan BN berani membetulkan kesilapan dan memperbaiki kekurangan, walaupun tidak bersifat populis seperti Pakatan Harapan.
Pembentangan Manifesto Pakatan Harapan 2018 adalah bukti pembangkang sudah ketandusan idea untuk memerintah negara apabila 90 peratus daripada manifesto itu telah dilaksanakan BN.
“Abai generasi muda, U-turn, ciplak dan tokok tambah, itulah yang boleh digambarkan dalam pembentangan Manifesto Pakatan Harapan 2018,” ujarnya.
Pemimpin dan pengurus tadbir yang bijak mestilah mampu berfikir dan merancang jauh ke depan, bukan ghairah memancing undi dan berfikiran singkat. – MalaysiaGazette