Dr Xavier Jayakumar
Dr Xavier Jayakumar

SHAH ALAM – Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menetapkan tarikh pembahagian kerusi di semua negeri perlu selesai pada 23 Febuari lalu namun sehingga kini Selangor masih gagal mencari jalan penyelesaian.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor, Dr. Xavier Jayakumar mengaku enam kerusi di Selangor masih dalam rundingan kerana menjadi rebutan oleh semua rakan komponen PH.

“Sangkut enam kerusi lebih baik daripada sangkut 20 kerusi jadi lebih senang untuk kita selesaikan. Enam kerusi ini diminta oleh semua parti.

“Semua parti kata boleh menang di kerusi-kerusi itu. Jadi kita kena rundinglah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selesai pelancaran Manifesto Pakatan Harapan malam tadi.

Baru-baru ini dilaporkan PH Selangor masih belum dapat menyelesaikan tuntutan bertindih bagi enam kerusi negeri walapun selesai rundingan rasmi ketiga semalam.

Kerusi-kerusi tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, DUN Sungai Panjang, DUN Seri Serdang, DUN Lembah Jaya, DUN Kota Damansara dan DUN Dusun Tua.

Bagaimanapun, memetik sumber mendedahkan sebagai berkata bahawa berlaku perebutan di antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di semua kerusi itu, sementara Parti Amanah Negara (PAN) menuntut lima manakala DAP mahu dua daripadanya.

Xavier yang juga Naib Presiden PKR dalam pada itu menafikannya.

Seterusnya beliau menjangkakan rundingan keenam-enam kerusi itu akan selesai sebelum pembubaran Parlimen.-MalaysiaGazette