Mohd Fadhly Yaakob bercakap kepada media mengenai kes seorang wanita mendakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak tulus urusan bayaran pinjama kepada Ah Long di Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2018

KUALA LUMPUR- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedang meneliti aduan seorang wanita yang mendakwa persatuan itu tidak telus dalam urusan pinjaman hutangnya kepada ah long.

Peguam PPIM, Mohd. Fadhly Yaakob berkata, usaha telah dijalankan oleh Biro Undang-Undang untuk berbincang dengan pengadu tersebut namun menemui jalan buntu.

Jelas beliau, ini kerana wanita berkenaan tidak hadir dalam sesi perbincangan hari ini.

“Saya mengesahkan aduan tersebut dan sedang menyiasatnya lebih mendalam.

“Pada masa sama, kami memang berhasrat untuk berbincang dengan lebih lanjut hari ini pukul 3 petang namun dia tidak muncul pula sehingga pukul 5.30 petang,” katanya ketika ditemui media di pejabat PPIM di sini.

Turut hadir, wakil PPIM iaitu Iman Azmi, adik kepada Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi.

Iman Azmi bercakap kepada media mengenai kes seorang wanita mendakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak tulus urusan bayaran pinjama kepada Ah Long di Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2018

Sementara itu, wanita tersebut yang dihubungi pihak media memberitahu dia dimaklumkan oleh PPIM tidak ada perbincangan pada petang ini dan tidak ada keperluan untuk hadir.

Dia turut memaklumkan telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut.

Semalam,  seorang wanita menuntut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membayar semula wang pinjaman ah long yang dibuat kepada persatuan itu berjumlah RM160,000.

Wanita yang enggan dikenali itu mendakwa, sejak Disember tahun lalu dia sudah membuat empat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada PPIM yang menjadi orang tengah mengendalikan urusan pinjaman kepada ah long.

Pekerja sektor swasta itu mendakwa dia mula berasa musykil sejak Januari lalu selepas sukar mendapat resit pembayaran daripada PPIM.

“Saya sudah beberapa bertemu wakil PPIM dan sering menerima pelbagai alasan serta dimaklumkan kepadanya semua bayaran sudah dijelaskan kepada ah long.

“Alasan yang diterima apabila tiada resit transaksi bank dibuat dan bayaran dibuat secara manual dan runner.

“Namun saya menemui bukti transaksi bank apabila PPIM hanya baru membuat bayaran RM90,000 baru-baru ini sahaja selepas saya mendesak banyak kali tentang resit.

“Jadi saya pelik ke mana baki RM160,000 itu pergi? Pada masa sama, saya masih diganggu beberapa ah long lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Sudah bagi RM250,000 tapi PPIM bayar ah long RM90,000 sahaja?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast