Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim berkata, tidak molek untuk kes seperti ini dibiarkan tertangguh sehingga enam bulan kerana akan meremehkan sistem perundangan negara.
Rais Yatim

GOMBAK – Ahli politik veteran UMNO, Tan Sri Rais Yatim menyifatkan pemergian rakan seperjuangannya, Tan Sri Sanusi Junid merupakan kehilangan besar kepada tanah air kerana banyak sumbangan dan kebolehannya yang dicurahkan kepada negara.

Rais yang juga bekas menteri berkongsi kisah bersama-sama allahyarham menempuh liku-liku politik negara dan juga bersama dalam kerajaan Malaysia, malah peranan Sanusi ketika mengetuai Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) sekitar 70an antara sumbangan paling penting buat negara.

“Memang Tan Sri Sanusi dan saya seangkatan dalam perjuangan menerusi parti atau pun kerajaan Malaysia

“Semasa curahan khidmat beliau, semasa kami di Seremban pada tahun 70an, beliau menggerakkan MAYC misalnya dan ini pun satu sumbangan besar kepada negara,” kata beliau semasa ditemui wartawan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Semasa mengepalai MAYC, allahyarham bertanggugjawab memperkenalkan konsep mental, jasad dan rohaniah atau singkatannya MENJARO, tambah beliau.

Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia berkata, apabila mental, jasad dan rohaniah ahli-ahli MAYC semakin kuat, ini memudahkan persediaan mereka untuk menceburi kegiatan Politik, Ekonomi dan Masyarakat (POLEMAS).

Beliau juga merupakan Presiden MAYC yang paling lama memegang jawatan itu hampir 37 tahun (1973 – 2000).

Selain itu, Rais menyifatkan Sanusi sebagai seorang pemimpin yang berkebolehan dan mempunyai idea-idea di luar kotak, antara yang sangat diingatinya adalah mengenai cadangan menanam padi atas bumbung rumah suatu ketika dahulu.

“Sebagai seorang bekas setiausaha agung UMNO dan seorang menteri pertanian yang kadangkala mempunyai idea agak di luar margin atau lingkungan yang biasa adalah pandangan-pandangan yang sangat progresif… kita kehilangan seorang putera yang mempunyai kebolehan dan pengaruh.

“Beliau seorang yang tegas dan sebagai salah seorang yang berkhidmat kepada parti, Tan Sri Sanusi adalah seorang yang suka nak cepat selesaikan masalah… yang kedua, beliau sangat pentingkan ekonomi rumah tangga, ini bermakna ekonomi orang kampung.

“Sebab itu suatu ketika dahulu, beliau mencadangkan bina sawah atas bumbung kita mesti buat, itu sebenar beliau membandingkan dan bukan suruh buat bendang atas bumbung tapi salah faham musuh beliau dalam politik meletakkan beliau sebagai cadangan membuat sawah padi atas bumbung, maksudnya adalah supaya cepat bekerja, guna ruang yang ada,” ujarnya.

Beliau berkata Sanusi sangat dihormati dan dikenali sebagai seorang sahabat karib kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau seorang sahabat karib kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan juga kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Saya mohon kepada rakan-rakan seperjuangan beliau dan lain-lain jangan kita jadikan politik sebagai penghadang keharmonian dan persahabatan dan kita harus menjadikan persahabatan itu dahulu dan kita isikan dengan aspirasi perjuangan,” katanya lagi.

Sanusi, 75, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri jam 6 pagi tadi.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999. – MalaysiaGazette