Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mempenguriskan Mesyuarat Agung Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Majlis Penyampaian Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF 2018 sambil diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (dua kiri) di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras. foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menetapkan tarikh pembentangan usul persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya masih menunggu tarikh sesuai berbuat demikian memandangkan sidang Dewan Rakyat masih membahaskan titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen.

“Saya sebagai Ketua Whip BN akan berbincang dengan Ketua Majlis Parlimen iaitu Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat tarikh persempadanan semula pilihan raya itu yang akan dilakukan oleh SPR.

“Selepas itu, pembentangan usul persempadanan semula akan dibawa kepada Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan pengundian akan dijalankan sama ada pengundian secara belah-bahagi atau kaedah bersuara.

“Tarikh belum ditentukan kerana terdapat perbahasan titah DiRaja di Dewan Rakyat dan selepas itu ada jawapan daripada menteri-menteri diikuti dengan pembentangan akta-akta  baharu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-25 Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dii Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Beliau mengulas tindakan SPR menyerahkan laporan akhir kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu kepada Perdana Menteri, semalam.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata urusan kajian semula tersebut selesai dijalankan semalam, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 113(10) Perlembagaan Persekutuan.

Dilaporkan, kajian semula persempadanan semula itu tergendala lebih setahun susulan dicabar di mahkamah melibatkan 15 kes yang difailkan oleh pelbagai pihak.

Permohonan bagi menghalang SPR daripada menjalankan urusan kajian semula itu bagaimanapun ditolak mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast