KUALA LUMPUR – Walaupun hasil minyak negara jatuh susulan pasaran global tidak menentu, kerajaan masih berjaya menurunkan defisit fiskal kepada 3 peratus seperti yang disasarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pencapaian tersebut adalah hasil langkah berani kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta beberapa langkah proaktif lain untuk menyeimbangkan hasil dengan perbelanjaan kerajaan.
“Hasil daripada langkah pembaharuan ini, kita mengatur syukur kerana negara telah berjaya mengharungi fasa kritikal tatkala berdepan dengn ketaktentuan harga minyak mentah dunia yang menjunam lebih 50 peratus daripada AS$100 setong kepada serendah AS$26 setong pada Januari 2016.
“Walaupun situasi sedemikian telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang besar iaitu lebih RM30 bilion daripada kutipan hasil cukai korporat khususnya dividen Petronas namun kerajaan masih mampu menurunkan defisit fiskal kepada 3 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 2017 berbanding 5.3 peratus pada 2010,” kata beliau di Dewan Rakyat pagi ini.
Langkah kerajaan tersebut bukan sahaja menstabilkan kedudukan ekonomi negara, malah ia mendapat pengiiktirafan daripada badan antarabangsa yang memuji langkah berani itu, jelas Najib.
“Impaknya kemampuan kita menguruskan kewangan negara terus mendapat pengiktirafan apabila badan penarafan antarabangsa seperti Fitch dan Moody telah memberi kita penarafan minimun A.
“Lebih membanggakan penarafan ini kekal sungguh pun banyak negara pengeluar minyak dunia mengalami penurunan atau downgrade dalam penarafan kredit,” katanya lagi.
Menurut Najib, kerajaan tidak mengambil langkah populis sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dalam menyediakan asas ekonomi dan kewangan yang lebih baik demi rakyat khususnya dan masa depan negara.
“Jelasnya, sebagai kerajaan bertanggungjawab kita akan terus menyediakan perancangan ekonomi dan kewangan bagi jangka masa panjang untuk mencapai hasrat negara maju ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan saiz ekonomi RM2 trilion pada 2055, sekali gus menuju Transformasi Nasional 2050 untuk meletak Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik pada 2050.
“Saya ingin menegaskan kerajaan tidak boleh ambil pendekatan populis sahaja, sebaliknya kita perlu lebih bertanggungjawab dan melaksanakan apa yang perlu bagi menyediakan asas ekonomi dan kewangan yang kukuh demi kepentingan rakyat dan generasi masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette