KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) dilihat memerangkap diri sendiri apabila tersilap membuat percaturan dengan mempertaruhkan manifesto populis semata-mata.
Pemerhati politik, Prof Madya Dr. Jeniri Amir berkata, manifesto yang kononnya untuk mengurangkan beban rakyat, sebenarnya menjurus kepada memudaratkan rakyat dan negara.
Beliau yang memandang serius cadangan penghapusan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tol dan penangguhan pembayaran PTPTN menyifatkan ia merupakan langkah-langkah bahaya untuk kedudukan ekonomi dan operasi negara.
“Tindakan untuk menghapuskan GST, tol, PTPTN akan memberi implikasi besar kepada negara ketika harga minyak dunia kembali jatuh. Pada masa sama, negara juga mengalami penyusutan hasil dari bonus dan dividen dari Petronas.
“Bagaimana PH mahu menampung kekurangan RM46 bilion jika GST dihapus. Apakah pengganti GST, adakah PH mahu mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang ternyata sistem cukai itu mendorong kepada ketirisan? Mahu hapus tol, jadi apa sumber lain untuk dijana akibat kehilangan pendapatan dari tol ini?.
“Saya bimbang dan sudah tentu orang lain juga bimbang, tanpa GST apakah kita akan menikmati perkhidmatan kesihatan, pendidikan yang percuma lagi?,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dr. Jeniri mengakui, manifesto PH hanya ‘cantik’ dan ‘enak’ di atas kertas tetapi tidak realistik dan memerangkap gabungan parti pembangkang itu sendiri.
Ini kerana, beliau percaya rakyat Malaysia tidak akan memperjudikan nasib mereka dengan PH yang ternyata tidak mempunyai kewajaran untuk memerintah sebuah negara.
Jelas beliau, manifesto itu turut menggambarkan betapa terdesaknya PH untuk memenangi rakyat dan pada masa sama meletakkan nasib rakyat dan negara dalam keadaan bahaya.
Malah, beliau berkata, manifesto PH itu memberi isyarat jelas bahawa kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah berada dalam kerajaan sebelum ini tidak dapat memberi impak kukuh seperti yang diharapkan oleh penyokong-penyokong PH.
“Sayang sekali, kebanyakan 60 janji-janji yang dibuat dalam manifesto PH adalah replika atau ditiru daripada manifesto Kerajaan Barisan Nasional dalam manifesto pada pilihan raya sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette