KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan sabitan dan hukuman liwat ke atasnya dibuat berdasarkan penipuan dan keterangan palsu.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad mendapati saman Anwar selaku plaintif terhadap kerajaan yang dinamakan sebagai defendan tunggal tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah, remeh dan menyusahkan serta menyalah guna proses mahkamah.
Nik Hasmat dalam penghakimannya berkata peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk memulakan pendakwaan ke atas sesiapa sahaja dan ia tidak harus dipersoalkan mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai isu terdapat penipuan dalam keterangan saksi pendakwaan, mahkamah mendapati isu itu tidak diberikan secara terperinci oleh pihak plaintif (Anwar).
“Mahkamah mendapati plantif tidak menamakan siapakah pegawai atau saksi defendan (kerajaan) yang telah didakwa memberi keterangan palsu di mahkamah,” katanya yang turut memaklumkan dakwaan itu boleh dijawab oleh defendan (kerajaan) jika plaintif menamakan butiran lanjut mengenai saksi yang didakwa terbabit dalam penipuan berkenaan.-BERNAMA