Home Utama Malaysia jadi negara hebat dalam tempoh 5 tahun

Malaysia jadi negara hebat dalam tempoh 5 tahun

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Yakinlah kita berada di ambang sebuah negara yang lebih hebat lagi. Kalau kita bayangkan Malaysia dalam masa lima, enam tahun akan datang, bila siap MRT (perkhidmatan transit aliran massa), siap keretapi berkelajuan tinggi (HSR), siap ECRL (Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), siap pusat logistik Bukit Kayu Hitam, Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange, segala-galanya..ini adalah Malaysia baru,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sesi Bajet 2018 Bersama Rakyat: Belia dan Rakyat di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut beliau, pembangunan-pembangunan baharu yang dilakukan itu merupakan komitmen kerajaan untuk generasi akan datang.

Dalam sesi itu, Najib berkata, Malaysia telah merekodkan pencapaian ekonomi tertinggi di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar 5.9 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, ekonomi negara berkembang dengan adanya kemasukan pelabur-pelabur tempatan dan asing.

“Kita akan menerima kemasukan AS$7 bilion (RM28 bilion) pada akhir tahun ini, selain pembukaan pusat serantau oleh syarikat SK, firma kedua terbesar selepas Samsung dari Korea Selatan, HSBC dan lain-lain,” tambah Perdana Menteri.

Kemasukan para pelabur itu akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutama kepada generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast