Home Nasional Masalah air di Selangor makin teruk jika tidak migrasi sistem baharu

Masalah air di Selangor makin teruk jika tidak migrasi sistem baharu

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menjangkakan masalah bekalan air akan menjadi lebih buruk jika kerajaan negeri tersebut enggan melakukan proses migrasi kepada sistem baharu sebelum Julai ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, malangnya sehingga kini sehingga kini kerajaan Selangor menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AIS) masih belum menyatakan persetujuan dengan perbincangan proses migrasi yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh empat bulan akan datang.

“Sekiranya (kerajaan negeri) tidak melaksanakan proses migrasi, akan ada banyak implikasi seperti Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat 2 yang boleh menampung 1,130 juta liter sehari (MLD) tidak dapat digunakan.

“Ini bermakna LRA yang dalam percubaan dan dijangka siap sepenuhnya awal Mei ini tidak boleh digunakan sedangkan ia membekalkan margin simpanan air 10 peratus kepada negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai.

Tambah beliau, Selangor dan negeri-negeri yang tidak melakukan proses migrasi akan berhadapan dengan kos perbelanjaan yang tinggi demi pembinaan loji, mengganti paip dan kerja penyelenggaraan lain.

Katanya, proses berkaitan dengan membaik pulih infrastruktur itu menelan belanja antara RM3 bilion hingga RM8 bilion dan tiada syarikat air yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan terbabit.

“Apa yang dilakukan ialah menjalankan kerja penyelenggaraan kecil seperti menampal kebocoran, membaiki dan mengganti paip rosak.

“Apabila paip berusia lebih 40 tahun tidak diganti, ia akan pecah dan keadaan menjadi lebih buruk.

“Ini (krisis air di Selangor) bukan masalah air tetapi margin simpanan bekalan air berada pada kadar sifar.

“Mereka tiada margin simpanan yang boleh digunakan apabila berlaku gangguan air seperti contoh di Negeri Sembilan mempunyai kadar 20 peratus simpanan yang boleh dibekalkan ke kawasan mengalami gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette