Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan mensasarkan seramai 37 juta pelancong ke negara ini dengan nilai pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan optimis dengan sasaran itu memandangkan pelbagai usaha agresif telah dirangka bagi melonjakkan angka pelancong ke khususnya dari China selaku agen terbesar industri itu.

Bagaimanapun katanya, pihak kementerian berdepan cabaran sengit daripada negara-negara jiran yang begitu agresif mempromosikan produk di negara mereka dengan mensasarkan pelancong China.

“Jiran paling dekat dengan kita, Singapura antara pesaing terkuat kyang secara agresif mempengaruhi pelancong China dengan menawarkan kemudahan dan produk yang hampir sama ditawarkan Malaysia.

‘Mereka menyediakan pakej penerbangan tambang murah yang sangat menarik dan selesa selain produk seperti durian musang king yang serupa dengan kita dan inilah memberi impak kepada usaha kita menarik lebih ramai pelancong dari China,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan aplikasi E-Halal mempromosikan makanan halal dan menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Seni Teknologi Sdn Bhd dan Kolej Universiti KDU di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.

Seni Teknologi Sdn Bhd diwakili Pengarahnya Syed Hassan Syed Alwi dan Ketua Pegawai Pemasaran Kolej Universiti KDU, Sheikh Fahmy Sheikh Mohamed menandatangani MoU tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazri berkata, beberapa langkah telah dilaksanakan untuk menghadapi persaingan tersebut termasuk menerusi kelonggaran pada visa dan pas masuk untuk pelancong dari China selain penambahan kaunter dan pegawai imigresen di ke semua pintu masuk utama negara.

Katanya ia antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk melonjakkan kehadiran pelancong khususnya warga China ke negara ini.

“Saya juga yakin projek mega pengangkutan rel iaitu Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura dan Kuala Lumpur akan membantu kepada pertumbuhan industri pelancongan negara,” ujar beliau.

Terdahulu dalam ucapannya Mohamed Nazri menjelaskan pelancaran aplikasi e-Halal akan membantu kerjasama

Seni Teknologi Sdn.Bhd dan KDU Kolej University Sdn Bhd untuk meneroka pasaran pengedaran produk makanan halal ke peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini wujud beberapa aplikasi dan portal laman web makanan di negara ini namun ia tidak diberi promosi dan pemasaran yang agresif untuk memastikan ia sampai kepada pasaran pembeli luar negara.

“Namun e-Halal ini akan membuka platform baharu mempromosikan secara agresif produk makanan halal yang berkualiti dan berjangka tahan lama untuk dibeli pelanggan luar negara menerusi dalam talian atau e-dagang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast