Home Ekonomi Petronas labur AS$60j pusat R&T di Itali

Petronas labur AS$60j pusat R&T di Itali

Petroliam menerusi anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. berjaya menghantar gas asli cecair (LNG) ke South Korean Oil Refining Company (S-Oil Corporation).

TURIN (Italy) – Syarikat petroliam negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), menerusi anak syarikatnya, Petronas Lubricants International Sdn Bhd (PLI), melabur sebanyak AS$60 juta (US$1=RM3.90) bagi membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan teknologi (R&T) minyak pelincir global serba maju, di sini.

Naib Presiden Pemasaran Hilirannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelaburan itu jelas memaparkan komitmen Petronas untuk melabur dalam teknologi masa depan, khususnya bagi pengurangan karbon dioksida (CO2).

“Ini merupakan pelaburan masa depan yang membabitkan teknologi untuk masa akan datang. Kami percaya, sudah tiba masanya bagi Petronas membuat komitmen dan mewujudkan pusat R&T ini supaya ia bukan sahaja sebagai platform untuk minyak tetapi juga minyak pelincir,” katanya kepada kumpulan media Malaysia selepas majlis perasmian pusat berkenaan di sini, semalam.

Mengulas selanjutnya, Syed Zainal Abidin berkata, lokasi pusat itu yang hampir dengan pejabat pengeluar peralatan tulen (OEM) di rantau tersebut, juga membolehkannya berada lebih dekat dengan para pelanggan.

“Hanya menerusi pemilikan kemudahan sedemikian, akan memberi peluang besar kepada kami untuk lebih erat dengan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PLI, Giuseppe D’Arrigo pula menyifatkan pembukaan pusat R&T itu sebagai penting dan sejajar dengan matlamat syarikat untuk menjuarai usaha mengurangkan CO2 berkenaan.

“Kami telah melipatgandakan pelaburan dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak 2015 dan berikrar membelanjakan 75 peratus daripada aktiviti itu bagi tahun ini ke arah pengurangan CO2,” katanya.

Malah, pilihan menempatkan pusat R&T itu di Turin akan turut membolehkan syarikat itu memanfaatkan kepakaran kejuruteraan automotif di bandar berkenaan.

“Turin merupakan ibu negara automotif global. Semua OEM utama terletak di kawasan ini dan mereka ini cemerlang dari segi kejuruteraan dan kemampuan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata selain Turin, PLI juga memiliki pusat-pusat penyelidikan lain di Malaysia, China, Brazil, Amerika Syarikat serta Afrika Selatan dan akan membuka satu lagi pusat seumpamanya di India, tahun ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan penyenaraian PLI, Syed Zainal Abidin berkata kemungkinan membabitkan sayap minyak pelincir itu tetap ada jika wujud peluang serta masa yang tepat.

Bagaimanapun, katanya, fokus syarikat itu ketika ini adalah untuk membina jenama serta kemampuan PLI dan menjadikannya sebagai pilihan dalam kalangan pemilik kenderaan.

PLI bertapak di 90 negara dengan menawarkan rangkaian produk termasuk cecair automotif dan minyak pelincir bagi pertanian, pembinaan serta perindustrian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast