KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi melancarkan Taman Rekreasi 99 Wonderland Park yang bakal menjadi mercu tanda rekreasi baharu dan unik di ibu negara.
Taman rekreasi yang asalnya merupakan sebuah kolam tadahan berbau, kotor dan tidak terurus kini bertukar menjadi sebuah tempat bagaikan taman tema sesuai dikunjungi orang ramai bersama keluarga.
Kehadiran Perdana Menteri disambut dengan tarian naga dan singa yang kemudiannya dibawa mengelilingi tasik berkenaan untuk melihat sendiri keunikan taman rekreasi tersebut dan menyantuni pengunjung yang hadir.
Tasik yang dibangunkan oleh syarikat pemaju hartanah, JL99 Group merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat itu dan sehingga kini telah membelanjakan melebihi RM18 juta untuk kerja-kerja menaik taraf.
Dalam masa sama, JL99 Group yang dimiliki oleh Datuk Seri Jeff B.K. Lee turut membelanjakan sehingga RM200,000 sebulan bagi tujuan penyelenggaraan.
Perbelanjaan itu merangkumi kos penyediaan makanan burung dan binatang, gaji pekerja, penyelenggaraan utiliti, perkhidmatan veterinari, kos pembersihan, perkhidmatan sekuriti dan sebagainya.
Taman ini juga dihiasi dengan lampu-lampu LED pada waktu malam, burung-burung dan binatang-binatang dari tempatan dan diimport dari luar negara, serta perhiasan di sekeliling terutamanya I Love BN signage and 1 Malaysia sculpture.
Sementara ini, Taman Rekreasi 99 Wonderland Park akan dibuka pada waktu malam bermula dari pukul 6 petang hingga 9.30 malam (Isnin-khamis) dan pukul 6 petang hingga 10 malam (Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti am).
Bersempena pelancaran taman rekreasi itu, JL99 Group juga bersetuju untuk mengecualikan bayaran masuk selama sebulan, bermula dari hari ini, sehingga 13 April 2018, untuk kesemua warganegara Malaysia yang memegang MyKad.
Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan lawatan sambil belajar ke Taman Rekreasi 99 Wonderland Park yang mana pelajar-pelajar dapat mengenali pelbagai jenis binatang dan burung dari tempatan dan luar negara.
99 Wonderland Park mempunyai bilik penetasan dan inkubator, laman rusa, ladang burung kasawari, medan burung, rumah arnab, lagon itik dan binatang-binatang eksotik serta kemudahan-kemudahan lain seperti Sky Fountain, Magical Bridge, T-Rex Ring, Golden Waterfall, 12 Zodiac Zone, 99 Cruise dan lain-lain. – MalaysiaGazette