Home Ekonomi Prestasi ekonomi negara bukan persepsi

Prestasi ekonomi negara bukan persepsi

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Penutupan operasi pasar-pasar raya besar yang dikaitkan dengan prestasi ekonomi yang tidak baik merupakan  persepsi semata-mata.

Sebaliknya, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, prestasi ekonomi negara perlu dilihat daripada seluruh aspek asas ekonomi termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar, eksport negara, kadar pengambilan pekerjaan dan perbelanjaan.

Menurutnya, bagaimana hendak mengukur penutupan operasi pasar raya besar di Malaysia sekiranya kadar perbelanjaan dan jumlah operasi runcit di negara ini semakin bertambah.

Beliau memberitahu, pada tahun 2016 jumlah cawangan peruncitan di Malaysia sebanyak 66,000 manakala pada tahun lalu bertambah menjadi 73,000.

“Kalau ekonomi tidak bagus bagaimana kedai-kedai ini bertambah. Memang ada syarikat yang tutup sebab alasan tertentu. Ada kedai-kedai ditutup bukan sebab rugi tetapi lokasi tidak strategik.

“Kita tidak boleh melihat penutupan operasi pasar raya, kita gambarkan sebagai ekonomi, sedangkan jumlah perbelanjaan tinggi. Fundamental (ekonomi) perlu dilihat dengan fakta bukan persepsi,” katanya dalam program Bersama Menteri di RTM malam tadi.

Berdasarkan fakta fundamental ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang 5.9 peratus dan eksport negara meningkat sebanyak 19 peratus pada tahun lalu.

Malaysia juga menyaksikan pengambilan pekerjaan sebanyak 1.1 juta sejak tiga tahun lalu dan pertumbuhan perbelanjaan negara meningkat sebanyak 6.9 peratus.

“Peningkatan perbelanjaan ini bukan di dalam negara tetapi juga  di luar negara, yang mana rakyat Malaysia berbelanja sebanyak RM46 bilion di luar negara. Statistik ini tidak boleh kita nafikan,” katanya.

Malah, katanya, pelbagai agensi penarafan seperti Standard & Poor, Fitch Ratings datang setiap suku tahun untuk membuat penilaian sendiri sebelum mengeluarkan laporan masing-masing

“Mereka bukan dengar cakap saya atau perdana menteri. Mereka ada metodologi sendiri,” tegasnya sambil menyifatkan pengukuhan ekonomi negara hasil daripada penambahbaikan susun atur dan polisi yang baik.

Menurutnya, Malaysia banyak belajar daripada kesan krisis  ekonomi Asia dan dunia pada tahun 1997/98 dan 2008/09.

“Setiap krisis kita dapat bangun balik. Tujuh peratus kita jatuh pada 1997/98 kemudian kita baik pulih ekonomi. Kita kena sekali lagi, krisis ekonomi dunia 2008/09, kita jatuh 1.5 peratus.

“Setiap kali krisis kita menambah baik ekonomi kita, belajar banyak benda sebab itu ketika harga minyak jatuh dari AS$115 setong kepada AS$35 setong, ekonomi kita masih kekal mampan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast