KUALA LUMPUR – Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) akan memutuskan status penjaga gol utama skuad negara, S. Kumar, yang disahkan positif doping, selewat-lewatnya pada 5 April ini, menurut Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata FIH akan memutuskan sama ada Kumar perlu menjalani sesi pendengaran atau terus dijatuhi hukuman berhubung kes doping berkenaan.Beliau berkata perkara itu dimaklumkan oleh FIH menerusi e-mel kepada MHC semalam.
“FIH mempertimbangkan keputusan dan akan memaklumkan kepada kami dalam tempoh 21 hari mulai tarikh penerimaan surat rasmi semalam,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menerima sistem analisis prestasi sukan khusus bagi keperluan skuad hoki negara daripada Institut Sukan Negara (ISN) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.
Subahan berkata beliau berharap kes membabitkan penjaga gol berusia 38 tahun itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin bagi membolehkan Kumar kembali menjalani latihan bersama Malaysian Tigers bagi menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini. – Bernama