KUALA LUMPUR – Peminat seni tanah air kini bagaikan tidak sabar untuk mengetahui keadan penyanyi kesayangan negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kandungan sulung beliau.
Tidak dinafikan terselit pelbagai spekulasi tentang tarikh dan waktu kelahirannya, hingga macam-macam khabar angin sedang kencang ditiupkan walaupun ada maklumat Siti akan melahirkan bayinya secara pembedahan pertengahan Mac ini.
Apatah lagi, pengurus yang juga kakak ipar penyanyi itu, Rozi Abdul Razak memuatkan naik video di Instagramnya yang sedang mengemas pakaian bayi untuk dimasukkan ke dalam beg sebagai persediaan Siti untuk bersalin pada bila-bila masa.
Namun menerusi entri terbaharu di akaun Instagram miliknya, Rozi menepis khabar angin yang mengatakan penyanyi nombor satu negara itu sudah bersalin.
Rozi meminta orang ramai tidak membuat spekulasi secara melulu tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Siti Nurhaliza sendiri.
“Belum, belum bersalin lagi, jangan buat khabar angin. Elok melawa dan tersenyum lagi ni.
“Masih juga sempat melapangkan waktu menyelesaikan beberapa tugasan. Saya dulu masa uruskan @ctdk, esok nak bersalin, hari ini masih bekerja keras.
“Siap masak nasi minyak dan menjamu rakan-rakan sekerja lagi sebab nanti akan lama berpantang, tak boleh makan macam-macam,” tulisnya dalam entri yang disertai foto dirinya yang tersenyum bersama Siti Nurhaliza. – MalaysiaGazette