KLANG, 17 Mac -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan keris panjang kepada Orang Besar Istana, Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Syed Anwar Jamalullail Alhaj, 34, pada majlis Istiadat Pemasyhuran Gelaran Dan Mengangkat Sumpah Serta Menjunjung Duli Bagi Orang-Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah Dan Datuk-Datuk Diraja Selangor di Balairung Seri Istana Alam Shah hari ini. Beliau dikurniakan pangkat gelaran "Yang Dimuliakan Engku Panglima Setia Diraja". Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kanan) dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KLANG – Lima individu dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Majlis pemasyhuran ialah bagi Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Datuk Diraja Selangor.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam istiadat itu, dua individu dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana iaitu Tengku Musahidin Shah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj dengan gelaran Tengku Seri Perkasa Diraja manakala Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj Syed Anwar Jamalullail Alhaj pula bergelar Engku Panglima Setia Diraja.

Datuk Emran Kadir pula dimasyhurkan sebagai Orang Besar Daerah dengan gelaran Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Petaling manakala Datuk Diraja Selangor dimasyhurkan kepada dua individu iaitu Datuk Mohd Effendi Abdullah yang bergelar Datuk Kurnia Bakti Diraja dan Datuk George Stewart LaBrooy yang bergelar Datuk Setia Pekerti Diraja.

Dalam istiadat tersebut, kelima-lima individu berkenaan mengangkat sumpah serta menandatangani akuan sumpah gelaran sebelum dikurniakan keris panjang daripada Sultan Sharafuddin.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast