Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihak kementerian mempunyai harapan untuk menjadikan maraton julung kali yang berjaya menarik lebih 30,000 peserta itu dalam kalender acara tahunan bandaraya itu.
“Ini satu maraton yang julung kali diadakan hasil cetusan idea Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) berjaya menarik puluhan ribu peserta tempatan.
“Perlumbaan yang turut disertai masyarakat tempatan itu bukti polis dan masyarakat berpisah tiada bersempena sambutan Hari Polis ke-211 pada 25 Mac ini.
“Ini satu permulaan dan harapkan tahun depan lagi mereka(PDRM) menganjurkan program ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan PDRM Night Run 2018 bersama Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya Tan Sri Noor Rashid Ibrahim di Dataran Merdeka malam tadi.
Tambah Tengku Adnan, kementeriannya sedia memberi pertimbangan dari segi peruntukan kewangan untuk menjayakan program PDRM ini sebagai acara tahunan.
Dalam pada itu Noor Rashid Ibrahim terharu dengan sambutan luarbiasa daripada jumlah peserta yang mengambil bahagian dalam perlumbaan julung kali ini.
“Kalau ikutkan rekod 15,000 peserta mendaftar, tetapi pada hari perlumbaan malam ini sudah sekitar 30,000.
“Harapkan menjadi acara tahunan sebagai menggalakkan kepada gaya hidup kesihatan sihat dan sukan kecergasan, Kami merakamkan setinggi penghargaan kepada para penaja kami yang menyumbang hadiah wang tunai serta hadiah-hadiah cabutan bertuah sebagai menjayakan acara malam ini,” katanya.- MalaysiaGazette